Bask Bear Coffee sasar buka 100 cawangan setahun

Bask Bear Coffee sasar buka 100 cawangan setahun

BRYAN Loo pada majlis pelancaran cawangan ke-100 Bask Bear Coffee di Suria KLCC, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bask Bear Coffee menyasarkan untuk membuka 100 cawangan fizikal setiap tahun sebagai langkah pengembangkan perniagaannya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, jenama itu mula dilancarkan pada awal 2021 dengan bermula sebagai jenama maya sahaja.

“Waktu pandemik Covid-19 kami mengintegrasikan Bask Bear Coffee ke dalam sekitar 200 hingga 300 cawangan Tea Live.

“Jadi, pada waktu itu menu Bask Bear Coffee ada di dalam menu Tea Live kerana waktu itu kami tiada cawangan fizikal.

“Apabila pandemik Covid-19 mula mereda, kami membuat keputusan untuk membina ekuiti jenama sebenar untuk Bask Bear Coffee, dari situ kami mula membuka cawangan fizikal.

“Setelah satu setengah tahun kami mula membuka cawangan fizikal, kami telah berjaya membuka cawangan ke-100 di Suria KLCC.

“Melangkah ke hadapan, kami sasar untuk membuka 100 cawangan Bask Bear Coffee untuk setiap tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Menurutnya, jenama itu mempunyai mempunyai 120 cawangan maya, menjadikan jumlah keseluruhan rangkaian sebanyak 220 cawangan, termasuk cawangan utama Bask Bear Supreme.

Sempena pembukaan ca­wanganke-100, pelanggan ber­peluang memenangi hadiah-hadiah menarik semasa karnival selama lima hari (27 September sehingga 1 Oktober 2023) yang menampilkan pelbagai permainan dan aktiviti berkisarkan beruang madu Malaya yang merupakan sumber inspirasi jenama Bask Bear Coffee.

Bagi mereka yang tidak dapat menyertai karnival ini, mereka juga berpeluang untuk memenangi “Golden Ticket” yang menawarkan bekalan toasties percuma selama satu tahun dengan pembelian barangan istimewa, iaitu Double Perfection Toastie, yang tersedia dalam tempoh terhad.

Menu Double Perfection Toastie boleh didapati di semua cawangan yang menyediakan hidangan roti bakar.

Bask Bear Coffee juga menerajui usaha pemeliharaan beruang madu melalui Kempen ‘Save Sun Bear Fund’ yang dilancarkan pada bulan lalu dengan tujuan untuk membantu menyokong pemeliharaan beruang madu di Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sandakan, Sabah, dengan menjadikannya sebagai haiwan angkat. Bask Bear Coffee akan menyumbang RM1 kepada BSBCC untuk setiap transaksi jualan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN