Tambahan Bintulu (BAGSF-2) memulakan penghantaran gas ke loji metanol Sarawak baharu di Bintulu, sekali gus menyokong pertumbuhan industri petrokimia di negeri itu.
Bekalan awal gas daripada BAGSF-2 melalui saluran paip yang baru dibina menyediakan bahan api untuk loji metanol Sarawak Petchem Sdn. Bhd. (SPSB) berskala dunia.
Dengan kapasiti reka bentuk 390 juta kaki padu gas sehari (MMscfd), kemudahan BAGSF-2 memenuhi keperluan loji metanol baharu (160 MMscfd), ditambah 70 MMscfd untuk dibekalkan kepada loji janakuasa sedia ada Sarawak Energy Berhad (SEB) di Bintulu.
Baki kapasiti diperuntukkan untuk projek lain di Bintulu, di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan berkata, bekalan gas tambahan ini akan memacu pertumbuhan selanjutnya sektor hiliran Sarawak, terutamanya di kawasan Bintulu.
“Petronas berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha ini untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon yang ditemui di luar pantai Sarawak.
“Projek ini adalah bukti komitmen kami untuk menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk pembangunan hiliran yang lebih besar. Ini berdasarkan amanah kami untuk membangunkan sumber hidrokarbon di Malaysia secara bertanggungjawab untuk kepentingan rakyat”, katanya dalam kenyataan.
Pada 2016, Petronas menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri Sarawak untuk membekalkan sejumlah 450MMscfd gas asli untuk penjanaan kuasa dan industri petrokimia milik kerajaan, yang membawa kepada pembinaan BAGSF-2 yang dijalankan oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd.
Lima tahun kemudian, Petronas menandatangani satu lagi Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan bekalan gas kepada 1,200 bilion kaki padu gas sehari kepada Sarawak. – UTUSAN










