PETALING JAYA: Anak syarikat Sunway Berhad, Sunway Developments Pte Ltd (SDPL) memperoleh projek pembangunan perumahan daripada Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura bernilai RM1.2 bilion (S$348.5 juta).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, SDPL dan Hoi Hup Realty Pte Ltd, secara bersama telah menyerahkan tender pembangunan kondominium eksekutif (EC) di Tengah Plantation Close secara pajakan untuk tempoh selama 99 tahun.
Katanya, Hoi Hup dan SDPL akan membentuk syarikat kerjasama (JV), dengan Hoi Hup atau syarikat penamanya dan SDPL akan mempunyai kepentingan ekuiti masing-masing sebanyak 65:35, untuk membangunkan projek itu di daerah Jurong Lake, terletak antara Jurong West dan Chao Chu Kang.
“Ini merupakan JV kelima dibentuk oleh SDPL dengan Hoi Hup bagi pembangunan projek di Singapura sejak 2016,” katanya.
SDPL adalah syarikat subsidiari Sunway Holdings Sdn. Bhd., dimiliki sepenuhnya oleh Sunway. Sementara Hoi Hup pula merupakan syarikat diperbadankan di Singapura dengan modal berbayar sebanyak S$3 juta (RM10.3 juta) dan fokus dalam pembangunan hartanah.
Menurut kenyataan itu, projek berkenaan bermula 11 September lalu dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
“Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Sunway Groyp bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya.
“Projek itu tertakluk kepada risiko pembinaan biasa bagi turun naik harga bahan. Bagaimanapun, dengan pengalaman dan kepakaran lepas Hoi Hup dan SDPL dalam pembinaan projek serupa, risiko ini boleh dikurangkan,” kata Sunway.
Menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura, EC ialah pangsapuri berstatus strata yang dibina dan dijual oleh pemaju hartanah kepada isi rumah warga Singapura yang layak. – UTUSAN










