`60,000 kontraktor G1 perlukan pekerjaan'

`60,000 kontraktor G1 perlukan pekerjaan’

ALEXANDER Nanta Linggi (kanan) beramah mesra bersama Penggiat Industri Pembinaan selepas sesi Dialog Belanjawan 2024 Kementerian Kerja Raya (KKR) di Kompleks KKR di Kuala Lumpur. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah berjumpa dengan Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukkan yang lebih tinggi bagi Belanjawan 2024 terutamanya bagi membantu kontraktor G1.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertemuan dengan pegawai daripada kementerian tersebut telah dibuat beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya memahami situasi yang dihadapi oleh kontraktor G1 terutamanya yang terjejas akibat Covid-19 dan kehilangan pekerjaan.

“Saya rasa ada kira-kira 60,000 kontraktor G1 yang berdaftar di seluruh negara dan mereka memang memerlukan pekerjaan.

“Kementerian prihatin dengan perkara ini dan kami telah memohon penambahan bajet untuk kontraktor G1, G2, G3 dan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog Belanjawan 2024 KKR bersama penggiat industri pembinaan di kementeriannya di sini, petang tadi.

Sementara itu, beliau berkata, antara cadangan yang dibangkitkan penggiat industri dalam dialog tersebut adalah bantuan daripada kerajaan berikutan terjejas dengan Covid-19 selama dua tahun.

“Selain itu, ada juga golongan belia yang mendaftar sebagai kontraktor memohon agar lebih banyak peluang pekerjaan diberikan kepada mereka,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada perlu ada semakan semula pemberian lesen kontraktor G1 yang dikatakan terlalu ramai ketika ini, beliau berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk menutup peluang kepada kontraktor baharu untuk mendaftar sejajar dengan amalan demokrasi di negara ini.

“Mungkin satu kaedah perlu dilihat untuk meningkatkan tahap kontraktor G1 sedia ada untuk naik kepada G2 dan G3.

“Masalahnya, ramai yang tidak mahu tinggalkan G1 kerana prosesnya lebih mudah. Kalau tutup lesen adalah terlalu drastik kerana nanti golongan muda, mahupun pesara tentera tidak dapat mendaftar untuk menjadikan bidang ini sebagai peluang mencari rezeki,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN