KAJANG: Sebanyak 26,286 kediaman bernilai RM18.3 bilion tidak terjual (overhang) di seluruh negara pada enam bulan pertama tahun ini, menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama (1H) 2023.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, angka tersebut bagaimanapun menunjukkan penurunan dari segi jumlah dan nilai, masing-masing sebanyak 5.3 peratus dan 0.6 peratus berbanding separuh tahun kedua 2022.
Katanya, Johor kekal merekodkan bilangan kediaman tidak terjual tertinggi sebanyak 4,717 unit diikuti Selangor berjumlah 4,307 unit, dengan nilai lebih RM4 bilion.
Walau bagaimanapun, kata beliau, Johor berjaya menurunkan bilangan tersebut sebanyak 10.3 peratus berbanding tahun lalu, namun Selangor sebaliknya, mencatatkan peningkatan sebanyak 16.5 peratus.
“Hampir 58 peratus daripada kediaman overhang merupakan harta tanah kondominium/pangsapuri, manakala dari segi lingkungan harga, hampir separuh berharga lebih daripada RM500,000 seunit,” katanya sewaktu merasmikan pelancaran laporan berkenaan di sini, semalam.
Ahmad memberitahu, prestasi pasaran hartanah negara pada separuh tahun pertama 2023 adalah stabil, dengan lebih 184,000 transaksi direkodkan bernilai RM85.37 bilion.
Menurut beliau, ia penurunan sebanyak 2.1 peratus dari segi bilangan namun peningkatan sebanyak 1.1 peratus dari segi nilai, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, nilai transaksi mencatatkan peningkatan bagi subsektor perdagangan, perindustrian dan tanah pembangunan, masing-masing sebanyak 19.5 peatus, 1.8 peratus dan 7.3 peratus.
Bagaimanapun, subsektor kediaman dan pertanian merekodkan penurunan sebanyak 1.8 peratus dan 17.7 peratus, katanya.
Tambah Ahmad, jumlah pinjaman yang dipohon dan pinjaman yang diluluskan untuk pembelian harta bukan kediaman meningkat 28 peratus dan 24.3 peratus.
“Namun begitu, situasi berbeza bagi harta kediaman yang menurun 5.8 peratus berbanding separuh pertama 2022, tetapi pinjaman yang diluluskan pula meningkat sebanyak 1.7 peratus,” katanya.
Menurut Ahmad, harga kediaman terus menunjukkan kenaikan marginal dengan peningkatan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) sebanyak 2.2 peratus berbanding setahun lalu, disokong oleh kenaikan marginal di negeri utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
“Pasaran hartanah dijangka bertambah baik pada separuh tahun kedua 2023. Pada pandangan saya, ramai pihak yang bersikap berhati-hati mengenai apa yang berlaku pada separuh pertama memandangkan ketika itu kerajaan baharu mengambil alih.
“Mereka tentunya ingin melihat apa yang berlaku pada kerajaan ini sebelum membuat keputusan membina kawasan perumahan baharu. Saya kira keadaan ini memberikan pendekatan berhati-hati di pihak industri,” katanya.
Beliau menjangkakan, pasaran akan bertambah baik berdasarkan kestabilan politik yang sudah berlaku.
“Selain itu, pelancaran dasar besar negara tentang Ekonomi Madani, tenaga boleh diperbaharui, dasar baharu perindustrian dan Kajian Separuh Penggal (Rancangan Malaysia Ke-12) akan memberi impak positif kepada ekonomi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, Kementerian Kewangan akan menjelaskan sama ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan semula atau sebaliknya di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Menurut beliau, penjelasan itu perlu dibuat kerana persoalan mengenai GST telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan memperkenalkan dasar cukai progresif kerana ia tidak bersifat broad-based seperti GST yang memberikan kesan besar terhadap golongan kurang mampu.
Katanya, walaupun GST diakui sebagai cukai yang efisien dan telus tetapi kerajaan perlu mengambil kira soal pembasmian miskin tegar, penyelarasan subsidi dan peningkatan taraf hidup masyarakat. – UTUSAN










