Untung bersih Maxis meningkat 2.2 peratus kepada RM329 juta

Untung bersih suku kedua Maxis meningkat 2.2 peratus kepada RM329 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maxis mencatatkan prestasi kewangan yang sihat untuk suku kedua (S2) berakhir 30 Jun 2023 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM329 juta.

Syarikat telekomunikasi itu merekodkan hasil perkhidmatan berjumlah RM2.1 bilion, meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pertumbuhan sihat daripada perniagaan pengguna dan perusahaan.

Bagaimanapun keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Kumpulan turun sedikit 1.0 peratus kepada RM1 bilion disebabkan kesan kos pelunasan yang lebih tinggi berikutan spektrum yang diberikan pada 2022.

“Aliran tunai bebas operasi berjumlah RM950 juta dengan baki tunai yang sihat sebanyak RM515 juta pada S2 2023,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Maxis berkata, pascabayar mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh sebanyak 7.5 peratus kepada RM871 juta, didorong oleh langganan Maxis Pascabayar dan Pascabayar Hotlink yang lebih banyak serta strategi migrasi pra-ke-pasca yang berkesan.

Langganan pascabayar meningkat 6.3 peratus kepada 3.4 juta dengan purata hasil setiap pengguna (ARPU) yang stabil pada RM78.

“Syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen bersih sebaham untuk suku ini,” katanya.

Menurut Maxis, dengan fokus pada konvergen mudah alih tetap dan cita-cita untuk mengembangkan bahagian pasaran, Syarikat terus melihat pertumbuhan yang menggalakkan merentas perniagaan pengguna dan perusahaannya.

Katanya, hasil pascabayar meningkat, didorong oleh langganan yang lebih tinggi. Kesalinghubungan Kediaman pula menyaksikan pertumbuhan dua angka dengan jumlah sambungan kini melepasi paras 700,000.

Sementara itu, perniagaan perusahaan Maxis meneruskan momentum menaik dengan mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun.

Pada suku tersebut, Maxis melabur RM166 juta dalam perbelanjaan modal (capex) dengan memberi keutamaan untuk mengekalkan kualiti rangkaian dan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.

“Maxis menantikan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G kepada pelanggan tidak lama lagi, selepas mendapat kelulusan daripada pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang akan datang untuk menandatangani Perjanjian Akses 5G,” jelasnya.

Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, Syarikat berada di landasan yang betul untuk pertumbuhan yang stabil dalam landskap telco yang kompetitif.

“Tumpuan kami adalah sentiasa untuk pengalaman pelanggan dari segi produk, perkhidmatan, rangkaian dan pendigitalan. Tidak lama lagi, kami akan menawarkan pelan 5G dengan nilai menarik untuk semua segmen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN