PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas memeterai Perjanjian Kajian Bersama Kebolehlaksanaan (JFSA), yang mengukuhkan komitmen mereka memajukan ekonomi hidrogen.
Susulan Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani sebelum ini, JFSA menggariskan komitmen kedua-dua pemimpin industri untuk bekerjasama dan memperkukuh sinergi bagi meneroka serta membangunkan usaha niaga dalam kepesatan bidang hidrogen hijau.
Kerjasama itu menandakan visi bersama syarikat untuk mempercepatkan penggunaan teknologi bersih seperti hidrogen dan pemerangkapan karbon, untuk menyahkarbonkan sektor tenaga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, perjanjian itu menjadi bukti dedikasi TNB yang tidak berbelah bahagi untuk menyatukan pemain industri dan menjalin sinergi yang kuat.
“Bersama-sama kami komited untuk meneroka dan membangunkan usaha niaga dalam bidang berpotensi hidrogen hijau,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan pula menekankan kepentingan kolaborasi dan peranannya dalam mencapai amalan lestari.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara tetapi juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
“Bersama-sama, kita boleh mengenegahkan penyelesaian inovatif, memacu amalan mampan dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang maju,” katanya.
Kerjasama strategik di antara TNB dan Petronas mempunyai kepentingan khusus dalam menangani cabaran penyahkarbonan industri tenaga, yang mana kedua-dua organisasi memainkan peranan penting.
Menyedari potensi hidrogen sebagai sumber tenaga yang serba boleh dan bersih, mereka berhasrat untuk memanfaatkan sumber ini bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor seperti pengangkutan, pembuatan dan penjanaan tenaga.
TNB, sejajar dengan komitmennya untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050, sedang meneroka penggunaan hidrogen dan ammonia sebagai pilihan pembakaran bersama dalam portfolio penjanaannya.
Kerjasama itu juga membuka peluang kepada TNB untuk menceburi penggunaan hidrogen dalam mobiliti dan pembuatan.
Perjanjian itu juga menandakan peristiwa penting dalam perjalanan ke arah masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan.
Melalui kajian itu, TNB dan Petronas bersama Gentari, syarikat tenaga bersih yang diasaskan oleh Petronas, akan menyelami pengetahuan tidak ternilai mengenai cabaran dan peluang tersaji dalam bidang hidrogen hijau.
Ia akan membolehkan penyelesaian inovatif, pengenalpastian potensi pengambil alih hidrogen hijau dan perumusan rangka kerja kerjasama di antara TNB dan Petronas. – UTUSAN










