SC lantik ahli lembaga baharu - Utusan Malaysia

SC lantik ahli lembaga baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan pelantikan Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin sebagai Ahli Lembaganya untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 15 Ogos 2023.

Lembaga, dilantik oleh Menteri Kewangan, bertanggungjawab untuk mengawasi keseluruhan tadbir urus SC dan diberi mandat untuk pengawalseliaan serta pembangunannya.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin mengalu-alukan pelantikan baharu ke Lembaga SC.

“Latar belakang mereka akan membawa perspektif baharu dan memastikan pendekatan yang menyeluruh untuk membuat keputusan dan pengawasan.

“Pelantikan Mohammad Faiz dan Alizatul bermakna barisan Lembaga SC akan terdiri daripada kumpulan profesional yang lebih pelbagai dengan pengetahuan luas dalam pelbagai sektor,” katanya.

Mohammad Faiz mempunyai lebih 38 tahun pengalaman dalam audit dan khidmat nasihat perniagaan di Malaysia dan United Kingdom.

Beliau ialah bekas rakan kongsi dan Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Institut Akauntan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.

Sementara itu, Alizatul pula mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman, pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) oleh Yang di-Pertuan Agong pada November 2020. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN