Sasar nilai eksport RM1.3 trilion

Sasar nilai eksport RM1.3 trilion

MATRADE rangka strategi atasi cabaran geopolitik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jumlah eksport kekal pada RM1.252 trilion pada tahun ini, di sebalik kelembapan ekonomi global dan krisis geopolitik yang tercetus di Eropah.

Tahun lalu, negara merekodkan lebihan nilai eksport sebanyak 25 peratus dan MATRADE tidak menjangkakan jumlah itu akan berkurangan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz, jumlah tersebut perlu dicapai untuk memastikan sasaran sama dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dapat direalisasikan.

“Pada peringkat nasional, kita sasarkan tidak jatuh daripada RM1.252 trilion sebab eksport yang kita sasarkan pada 2025 di bawah RMK-12, sebanyak RM1.252 trilion. Tahun lepas kita telah lepasi 25 peratus (nilai eksport) iaitu berjumlah RM1.552 trilion,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Hari Eksport Selangor anjuran MATRADE bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata, sebagai sebuah negeri industri, Selangor menyumbang 23.2 peratus kepada nilai keseluruhan eksport negara pada tahun lalu.

“Jumlah eksport (Selangor) melebihi RM360 bilion, hampir 10 peratus kenaikan berbanding tahun sebelumnya, mencatatkan pertumbuhan positif untuk sektor jentera dan kelengkapan pengangkutan, barangan perkilangan dan bahan kimia.

“Tidak lupa, industri asas tani serta makanan dan minuman yang menyumbang kepada eksport negeri. Pada 2022, Selangor di tempat ketiga jumlah eksport tertinggi mengikut negeri di Malaysia,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Mustafa memberitahu, pihaknya menyasarkan 3,000 padanan perniagaan melibatkan 275 pelabur termasuk 11 syarikat premium dari lapan negara dengan 500 syarikat tempatan pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023.

Beliau berkata, MIHAS 2023 berlangsung dari 12 hingga 15 September, melibatkan hampir 1,700 reruai membaitkan pempamer dari 40 negara, melepasi sasaran sebanyak 1,500 penyertaan.

“Sehingga Julai 2023, sebanyak 28 program promosi eksport dianjurkan termasuk Misi Akselerasi Eksport, Pameran Perdagangan Antarabangsa, Misi Galakan Pelaburan dan Perdagangan dan Program Penyumberan Antarabangsa (International Sourcing Programme-INSP).

“Komponen tersebut akan menyaksikan lebih daripada 3,000 padanan perniagaan yang kami susun untuk 472 syarikat tempatan dengan 275 pembeli asing termasuk pembeli premium dari 44 negara,” katanya

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, Selangor sedang mengalami peralihan daripada sektor pembuatan kepada perkhidmatan dan anjakan tersebut berlaku pada tahap 0.6 hingga 0.7 peratus.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, perkembangan sektor perkhidmatan tidak akan menjejaskan aktiviti eksport negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan keusahawanan.

“Usahawan kecil dibina dan dari sini (PKNS), MATRADE memainkan peranan untuk mengambil potensi-potensi itu dan menemukan pembeli dari luar negara, termasuk melalui penganjuran MIHAS, di mana mana ramai pembeli akan datang untuk melihat produk mana mereka boleh import.

“Peranan PKNS adalah membina usahawan. Sejak sekolah rendah, ada program untuk menengah dan pasca siswazah. Melalui saluran ini kita salurkan usahawan kepada MATRADE untuk disalurkan ke luar negara. Itulah rantaian eksport kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN