KUALA NERUS : Prihatin dengan permasalahan umat Islam ketika mengerjakan haji dan umrah mendorong tiga sahabat memulakan perniagaan kosmetik halal dan suci melalui syarikat Eastar Biotech Sdn. Bhd.
Pengasasnya, Prof. Madya ChM Dr. Mohd. Zul Helmi Rozaini berkata, kesemua 10 produk syarikat tersebut yang dikenali dengan jenama Rehla telah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2021.
Menurutnya, produk utama syarikat itu ialah siri penjagaan kulit muka dan badan Rehla yang telah diformulasi dengan teknologi Nanovesicles iaitu matrix bersaiz nano yang membantu menembusi penyerapan terus ke epidermis sepantas 24 jam.
Tambahnya, produk itu sangat sesuai untuk umat Islam kerana ia mesra wuduk, mesra ibadah dan mesra ihram yang sesuai digunakan sepanjang berada di tanah suci Mekah dan Madinah yang mempunyai suhu dan cuaca ekstrem.
“Selain mengekalkan kelembapan dengan mengelakkan dehidrasi, formulasi ini juga diperkayakan dengan ekstrak enzim bromilin daripada nenas dan minyak pati daun gelam (melaleuca cajuputi) yang banyak terdapat secara meliar di pesisiran pantai di Terengganu.
“Kami juga mempunyai krim pelindung matahari iaitu satu-satunya produk tempatan yang diiktiraf mesra karang di dasar laut yang sesuai untuk pencinta alam semulajadi dan aktiviti rekreasi,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mohd. Zul Helmi bersama dua lagi rakan perniagaannya iaitu Datin Siti Hajar Harun dan Datin Che Ruby Mohamed juga mengakui status halal Jakim itu berjaya meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama dan meningkatkan jualan syarikat sebanyak 25 peratus berbanding sebelum mendapat pengiktirafan itu.
“Lebih istimewa produk kami juga telah melalui proses penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pelbagai ujian lain bagi menepati piawaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Produk kami adalah bersifat premium dan lengkap bagi penggunaan badan serta muka. Ia bebas daripada pewangi, bahan-bahan syubhah, bebas pewarna dan bebas alkohol,” katanya.
Ketika ini, syarikat mempunyai sistem pengedar dan affiliate bagi membantu mana-mana individu yang ingin mencari pendapatan tambahan, malah menyediakan slip gaji yang sah untuk memudahkan mereka membeli aset dengan adanya dokumen tersebut.
Bagi memperluaskan pasaran, syarikat turut menjalinkan kolaborasi rakan strategik perniagaan bersama Tabung Haji Travel Services dan lebih 30 rangkaian butik kelengkapan haji dan umrah di seluruh Malaysia.
Ditanya rancangan perniagaan dalam tempoh lima tahun akan datang, Mohd Zul Helmi berkata, syarikat sedang menjalani program selama enam bulan di bawah program ASEAN Mentoring Programme sebagai persediaan menembusi pasaran antarabangsa.
“Ia adalah program kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ASEAN Business Advisory Council (BAC), ASEAN BAC Education Group dan Japan-ASEAN Integration Fund (JAIF).
“Kami juga mendaftar sebagai syarikat baharu (emerging company) di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kementerian Pelaburan dan Industri (MITI) untuk mencapai matlamat itu,” katanya. – UTUSAN











