PNB anjur forum PNB Knowledge, wujudkan masa depan mampan

PNB anjur forum PNB Knowledge, wujudkan masa depan mampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PNB Research Institute Sdn. Berhad (PNBRI), anak syarikat penyelidikan milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), telah menganjurkan siri pertama PNB Knowledge Forum I 2023 (PKF) dengan tema ‘Memanfaatkan Inovasi dan Teknologi untuk Perniagaan Mampan’.

Forum itu bertujuan memberikan pandangan berharga tentang penyelesaian inovatif, teknologi disruptif dan komitmen syarikat-syarikat PNB kepada penambahbaikan berterusan yang akan memacu kemajuan dalam inovasi, teknologi disruptif, penambahbaikan produk dan proses.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, dunia dalam era digital ini berubah pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ia telah dan akan terus mencipta peluang yang menakjubkan dan pada masa yang sama menjana risiko-risiko baharu kepada pemimpin pasaran sedia dalam sektor-sektor ekonomi masing-masing.

“Baru-baru ini, PNB telah menerbitkan Laporan Tahunan Bersepadu 2022 sulungnya yang mencerminkan jangkaan pertumbuhan dan pendekatan progresif untuk menerokai kemungkinan baharu dan memanfaatkan peluang-peluang inovatif.

“PNB amat komited untuk mencipta masa depan yang mampan dan inklusif yang memberi manfaat kepada pihak berkepentingan dan komuniti yang disantuninya,” katanya dalam kenyataan.

PKF menampilkan empat syarikat pelaburan PNB iaitu Sime Darby Plantation Berhad, Sime Darby Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Berhad (Perodua) yang merupakan peneraju pasaran dan telah berjaya menerapkan pendekatan inovatif dan teknologi disruptif ke dalam sektor masing-masing.

Pembentangan Sime Darby Plantation bertemakan ‘Plantations Reimagined’, menampilkan inovasi yang menyumbang kepada kepimpinan pasaran yang mampan dan kecemerlangan organisasi dalam rantaian nilai sektor perladangan.

Sime Darby Berhad pula berkongsi perjalanan ‘Electrification’ syarikat tersebut, dalam usaha mereka mengambil peluang-peluang baharu yang muncul daripada penggunaan kenderaan elektrik (EV), dengan memanfaatkan keupayaan terasnya, mewujudkan perkongsian baharu dan mengembangkan perniagaannya di sepanjang rantaian nilai.

Sementara itu, Maybank, menepati etos ‘Menginsankan Perkhidmatan Kewangan’, mempamerkan inovasi berterusan syarikat bagi penyelesaian kewangan yang mudah, intuitif dan tertumpu kepada pengalaman manusia.

Perodua pula berkongsi perjalanan ‘Moving Malaysia’ mereka yang menampilkan ciri robotik dan inovasi teknologi dalam pengeluaran automotif dan penyelesaian pengilangan dari hujung ke hujung, serta pembangunan keupayaan tempatan.

PKF telah dihadiri oleh lebih 500 peserta, terdiri daripada pembuat-pembuat dasar, ahli- ahli kepimpinan utama dan ahli-ahli pengurusan kanan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat senaraian awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN