KUALA LUMPUR: Pihak yang terlibat dalam memudahkan peralihan tenaga mesti melihat melepasi mengimbangi trilema tenaga, tetapi juga melihat komponen ekuiti dan keterangkuman yang tiada untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam proses itu.
Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, pergerakan untuk memudahkan peralihan tenaga memerlukan komitmen bersama daripada semua seperti pembuat dasar, pembekal dan pelanggan.
Katanya, peralihan tenaga mesti bertindak balas kepada aspirasi rakyat dan tidak boleh membantutkan atau menghalang pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
“Transformasi sistem tenaga global sedang berjalan dengan baik, tetapi laluan kita menuju peralihan bukan tanpa cabarannya.
“Ancaman perubahan iklim dan keperluan untuk menjamin keselamatan tenaga kelihatan besar dan menuntut perhatian segera dan tindakan kolektif kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran Tenaga Nasional Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. Persidangan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad
Sementara itu, Abdul Razak berkata, TNB telah menetapkan rancangan sendiri untuk menyokong aspirasi karbon sifar bersih negara.
Menurutnya, strateginya merangkumi tiga bidang tumpuan strategik termasuk perancangan bersepadu mengenai penyahkarbonan penjanaan, membolehkan tenaga boleh diperbaharui (TBB) yang fleksibel, pertukaran Grid rentas sempadan dan memperkasakan elektrifikasi rentas sektor dan penyertaan prosumer.
“Dengan inisiatif ini, TNB akan membawa pihak berkepentingan untuk menyaksikan peningkatan dalam kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga yang dipertingkatkan melalui teknologi pintar dan digital.
“Selain itu, ia juga melibatkan penggunaan lebih luas bagi solar, teknologi baharu yang boleh diperbaharui sama ada hidrogen, ammonia atau kemudahan penyimpanan dan kerjasama serantau yang lebih tertumpu dalam pertukaran tenaga hijau,” ujarnya.
Persidangan dua hari itu telah menarik lebih 2,000 peserta dengan 68 penceramah dari seluruh dunia dan disokong oleh 33 organisasi rakan kongsi. – UTUSAN










