Perak lancar Taman Industri Halal @Lekir

Perak lancar Taman Industri Halal

SAARI MOHAMAD melakukan majlis pecah tanah projek Taman Industri Halal Perak @ Lekir di Lumut, semalam. – UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perak melancarkan projek Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) dekat sini, sebagai hab pembekalan daging halal di negara ini dengan sasaran pelaburan kira-kira RM1 bilion.

Projek di kawasan seluas kira-kira 43 hektar bersebelahan Plaza Tol Lekir Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) itu akan dibangunkan secara berfasa mulai tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek inisiatif Perbadanan Pembangunan Pertanian Ne­geri Perak (PPPNP) itu dijangka menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk setempat.

Beliau yang juga Pengerusi PPPNP menjelaskan, agensi tersebut akan berbelanja kira-kira RM100 juta bagi penyedia­an infrastruktur di kawasan tersebut.

“Buat permulaan, seba­nyak RM20 juta akan digunakan untuk membina laluan atau jambatan khas bagi kemudahan akses dari WCE ke Perak HIP,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut, semalam.

Pada majlis sama, turut diadakan acara penyerahan re­plika cek bernilai RM20 juta dari­pada Agrobank kepada PPPNP bagi membiayai peserta-peserta yang terlibat dalam Perak HIP.

Selain itu, turut dilakukan penyerahan surat sokongan bagi cadangan pembangunan Perak HIP antara Maybank Islamic Berhad dan PPPNP serta memorandum usahasama antara Perak Agro Farm Sdn. Bhd., Ladang Lekir Sdn. Bhd. dan Eurofresh Sdn. Bhd. dalam pembangunan industri lembu tempatan.

Menurutnya, pembangunan Perak HIP adalah kesinambu­ngan daripada program lembu tempatan yang dilaksanakan oleh PPPNP tahun lalu dengan matlamat utama meningkatkan pengeluaran daging halal negara.

Jelasnya lagi, ia juga memperkukuh rantaian bekalan mapan dan berteraskan integriti, memberikan nilai tambah kepada pengeluaran daging, serta memperluas jangkauan produk halal Perak.

Beliau memaklumkan, Perak HIP bukan semata-mata sebuah taman perindustrian biasa.

Sebaliknya, ia merupakan sebuah taman yang bakal dilengkapi dengan pusat pemprosesan daging, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) daging halal, pusat pemprosesan ayam dan kilang pemprosesan makanan haiwan.

Justeru jelasnya, taman itu akan menjadi hab kecemerla­ngan dalam industri makanan halal dan mencerminkan dedikasi dan hasrat Perak untuk meningkatkan kualiti produk halal yang dihasilkan di Malaysia.

Beliau menambah, lokasi­nya yang strategik berhampiran WCE dan berdekatan dengan pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang, sekali gus menawarkan kelebihan logistik yang tidak ternilai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya memberitahu, anggaran nilai pasaran tanah di Perak HIP adalah RM215.42 per kaki persegi yang sangat berpatutan, jika dibandingkan dengan nilai pasaran kawasan industri lain sepanjang lebuh raya WCE.

“Sebagai contoh, harga ta­nah di Selangor ialah RM326 per kaki persegi di Sabak Bernam, RM383 per kaki persegi di Tanjong Karang, antara RM300 hingga RM400 per kaki persegi di Kuala Selangor dan RM500 hingga RM600 per kaki persegi di Kapar, Klang.

“Ini memberikan Perak HIP kelebihan dalam daya saing dan tarikan pelaburan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN