Pendapatan SD Property melonjak 25 peratus kepada RM1.4 bilion

Pendapatan Sime Darby Property melonjak 25 peratus kepada RM1.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) merekodkan pendapatan sebanyak RM1.4 bilion untuk enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (1H TK2023), peningkatan sebanyak 25 peratus daripada RM1.1 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Margin keuntungan kasar Syarikat melebihi jangkaan pada 28 peratus dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM212.2 juta, dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM131.7 juta, menggambarkan persekitaran pasaran kompetitif dan dinamik.

Dipacu oleh kemajuan projek yang sedang berjalan, Syarikat merekodkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM688.9 juta berbanding suku sebelumnya. PBT pula meningkat 17 peratus suku-ke-suku (QoQ) kepada RM114.3 juta dan PATAMI juga naik sebanyak 17 peratus kepada RM71.1 juta.

Dengan memanfaatkan peluang pasaran, Syarikat merekodkan jualan berjumlah RM1.5 bilion mewakili 65 peratus daripada sasaran jualan berjumlah RM2.3 bilion bagi TK2023.

Pengarah Urusan Kumpulan SD Property, Datuk Azmir Merican berkata, strategi Syarikat dalam menghadapi dinamik pasaran semasa adalah bertunjangkan pemahaman nuansa pasaran dan permintaan pengguna.

“Ini membolehkan kami untuk bergerak secara berkesan dan memanfaatkan pertumbuhan di samping mengekalkan konsistensi dalam tawaran kami. Keseimbangan ini penting untuk jualan berterusan dan trajektori pertumbuhan operasi pada separuh pertama TK2023,” katanya.

Menurut Azmir, pada separuh pertama TK2023, Syarikat telah memperkenalkan projek-projek baharu bernilai RM2.1 bilion yang mewakili 70 peratus daripada sasaran pelancaran tahunan sebanyak RM3.0 bilion.

Katanya, tawaran-tawaran telah dipelbagaikan untuk memenuhi jangkaan pasaran dengan 49 peratus untuk kediaman bertanah, 30 peratus kediaman bertingkat tinggi (high-rise), 18 peratus perindustrian dan 3 peratus untuk komersial.

“Kadar pembelian purata kesemua produk pada masa ini adalah 82 peratus,” katanya.

Inventori sedia ada Syarikat pula berkurangan dengan ketara kepada RM237.7 juta daripada RM277.2 juta pada 31 Disember 2022, dan merupakan paras terendah yang pernah dicapai sejak pengumuman pengasingannya.

Syarikat mendaftarkan rizab simpanan tunai sebanyak RM795.4 juta, manakala nisbah hutang bersih sebanyak 20.7 peratus mencerminkan aliran tunai dan kapasiti kukuh untuk perkembangan masa depan.

Syarikat mencatatkan jualan belum dibil yang lebih tinggi sebanyak RM3.8 bilion pada 30 Jun 2023 berbanding RM3.6 bilion pada 31 Disember 2022, yang memastikan keterlihatan pendapatan untuk tiga tahun akan datang. Tempahan semasa berjumlah RM1.9 bilion pada 6 Ogos 2023.

Syarikat telah menyemak semula sasaran jualannya daripada RM2.3 bilion kepada RM2.7 bilion dan sasaran nilai pembangunan kasar (GDV) pelancaran daripada RM3.0 bilion kepada RM4.0 bilion.

Sime Darby Property mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.0 sen dividen sesaham berjumlah RM68.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN