Pasaran buruh mengukuh, kadar pengangguran lebih rendah 2022

Pasaran buruh terus mengukuh, kadar pengangguran lebih rendah 2022

MENDAPAT pekerjaan membolehkan pekerja mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk jaminan persaraan mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran tenaga buruh Malaysia terus mengukuh pada 2022 dengan bilangan penduduk pekerja bertambah 1.4 peratus kepada 16.02 juta orang, berbanding 15.80 juta orang tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurutnya, pertambahan disumbangkan oleh peningkatan bilangan penduduk bekerja dan penurunan dalam pengangguran.

Kadar pengangguran tahun lalu turun 0.7 peratus kepada 3.9 peratus berjumlah 630,400 penganggur daripada 733,000 orang atau 4.6 peratus pada 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, persekitaran ekonomi yang positif sepanjang 2022 membawa kepada situasi tenaga buruh yang menggalakkan pada tahun tersebut, susulan lebih banyak peluang pekerjaan daripada pelbagai industri telah diwujudkan.

Beliau berkata, bagi 2023, pertumbuhan ekonomi diunjurkan lebih sederhana, namun, peningkatan bilangan ketibaan pelancong akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan seiring dengan kedudukan pasaran yang bertambah baik, terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Berikutan aktiviti ekonomi yang terus berkembang pada tahun 2023, pasaran buruh dijangka kekal stabil,” katanya dalam kenyataan Statistik Tahunan Tenaga Buruh Malaysia 2022.

Mengulas pasaran buruh tahun lalu, beliau berkata, pemulihan daripada kemelesetan ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19 telah mencapai titik perubahan pada tahun dilaporkan, mendorong kepada perubahan positif dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai industri.

Selain itu katanya, konsep pekerjaan fleksibel dengan bekerja secara jarak jauh dan aturan kerja yang fleksibel telah menjadi satu kelaziman.

“Ini memberikan lebih fleksibiliti kepada pekerja dan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan. Oleh itu, pasaran buruh terus mengukuh pada 2022 dengan bilangan penduduk bekerja yang lebih tinggi, manakala pengangguran menurun,” katanya

Mohd. Uzir berkata, pada tahun lalu, bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.39 juta orang, meningkat 2.2 peratus daripada 15.06 juta pada 2021.

Bagaimanapun katanya, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 11.7 peratus berjumlah 321,200 daripada 329,100 tahun sebelumnya.

Sebaliknya, kadar pengangguran bagi penduduk dewasa berumur 25 hingga 64 tahun menurun sebanyak 0.8 mata peratus kepada 2.3 peratus dengan jumlah 309,100 orang penganggur berbanding 403,900 orang pada 2021.

Dari segi status pekerjaan, kategori pekerja merangkumi peratus sumbangan terbesar penduduk bekerja iaitu 78.3 peratus pada tahun 2022. Bilangan penduduk bekerja dalam kategori ini merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 1.9 peratus kepada 12.05 juta orang (2021: 11.82 juta orang). Manakala, bilangan penduduk bekerja sendiri yang meliputi 15.1 peratus meningkat kepada 2.33 juta orang (+4.2 peratus).

“Kategori pekerjaan separuh mahir merupakan komposisi terbesar, meliputi lebih separuh (58.4 peratus) daripada jumlah guna tenaga, merekodkan 8.99 juta orang. Kategori mahir merangkumi 29.6 peratus daripada penduduk bekerja, berjumlah 4.56 juta orang, manakala kategori berkemahiran rendah meliputi 12.0 peratus bersamaan 1.84 juta orang.

“Mengikut sektor ekonomi, sebahagian besar penduduk bekerja tertumpu dalam sektor Perkhidmatan, mewakili 65.0 peratus. Ini diikuti sektor Pembuatan dengan 16.8 peratus dan Pertanian (10.0 peratus), sementara guna tenaga dalam sektor Pembinaan dan Perlombongan & pengkuarian masing-masing merangkumi 7.6 peratus dan 0.5 peratus,” jelas beliau.

Tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih tinggi daripada peringkat nasional iaitu Sabah (7.5 peratus), W.P Labuan (7.2 peratus) dan Perak (4.6 peratus). Sementara W.P. Putrajaya (1.0 peratus), Melaka (1.6 peratus) dan Pahang (2.5 peratus) mencatatkan kadar pengangguran terendah.

“Bagi kumpulan yang tidak aktif, komposisi terbesar penduduk di luar tenaga buruh mengikut jantina adalah golongan perempuan merangkumi 69.6 peratus. Kerja rumah/tanggungjawab keluarga merupakan sebab utama bagi luar tenaga buruh dengan 44.5 peratus, diikuti bersekolah/latihan (40.9 peratus).,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN