PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) merekodkan jualan hartanah RM1.2 bilion untuk separuh pertama 2023, meningkat 20 peratus daripada RM1.0 bilion tahun lalu.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023, Kumpulan mencapai pendapatan yang kukuh, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM75 juta dan hasil sebanyak RM644.2 juta.
Ia mencerminkan peningkatan 25.5 peratus dan 18.9 peratus peningkatan dalam PBT dan hasil, berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
Untuk separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, Kumpulan mencapai hasil dan PBT sebanyak RM1.29 bilion dan RM150.8 juta, berbanding RM975.2 juta dan RM115.8 juta setahun lalu.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, momentum jualan Kumpulan yang mengagumkan terutamanya didorong oleh kadar pengambilan yang kukuh untuk pembangunan Siri M seperti yang ditunjukkan dalam keputusan separuh pertama 2023.
“Kedudukan unik kami dalam segmen harga yang berpatutan digabungkan dengan penawaran produk kami yang berbeza dikenali sebagai ‘Luxury You Can Afford’ telah membantu kami meningkatkan jualan tidak dibilkan kepada RM2.34 bilion.
“Dengan lebih banyak pelancaran baharu yang dirancang untuk separuh kedua 2023, Kumpulan yakin dapat mencapai sasaran jualan setahun penuh minimum RM2.2 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, pelaksanaan projek dengan kemajuan pembinaan yang mantap membantu memacu hasil, pendapatan dan momentum aliran tunai.
Kumpulan mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh dengan kira-kira RM929.7 juta dalam tunai dan baki bank dan pelaburan dalam dana jangka pendek.
Disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh dan digalakkan oleh kadar pengambilan yang sihat projek Siri M, Kumpulan akan terus mengejar lebih banyak lagi pengambilalihan untuk membangunkan rumah kediaman mampu milik dan mengembangkan portfolio pembangunan perindustrian.
Pada separuh pertama 2023, Kumpulan memperoleh empat bidang tanah khususnya M Terra dan M Hana di Puchong, M Tiara di Johor Bahru, Glengowrie Estate di Semenyih dan M Zenya di Kepong.
Pemerolehan itu secara kolektif menambah kepada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5 bilion.
Pelancaran hartanah Mah Sing pada suku kedua 2023 termasuk Fasa 2B M Senyum di Salak Tinggi, Melati Meridin Timur di Johor Bahru dan Fasa 2 M Panora di Rawang.
“Pelancaran baharu akan datang termasuk M Minori di Johor Bahru, fasa masa depan M Senyum di Salak Tinggi, Meridin Timur di Johor Bahru, M Panora di Rawang dan M Sinar, Southville City di Bangi.
“Kumpulan berada di landasan yang betul untuk capai sasaran jualan setahun penuh sekurang-kurangnya RM2.2 bilion,” katanya. – UTUSAN










