
MUKADIMAH
Ketidaktentuan ekonom tempatan dan global selain kenaikan harga bahan mentah bukan hanya memberi kesan kepada rakyat malah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam negara.
Ada PMKS terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tidak lagi mampu menanggung kerugian disebabkan tidak memperoleh keuntungan selepas pandemik Covid-19 dan kemudian kenaikan harga bahan mentah.
Bagi pengeluar produk mayonis bumiputera, Jasma Holdings Sdn. Bhd. kesan daripada kenaikan harga bahan mentah serta kekangan modal mendorong syarikat tersebut mengurangkan pengeluaran produk serta menumpukan kepada produk yang mendapat sambutan sahaja.
kuti temu bual wartawan MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID dengan Pengarah Urusan Jasma Holdings, NURUL SYAHIDAH AINUAL AZHAR baru-baru ini, yang berkongsi cabaran menjalankan perniagaan masa kini.

UTUSAN: Boleh Puan ceritakan secara ringkas mengenai Jasma Holdings?
NURUL SYAHIDAH: Jasma Holdings merupakan kesinambungan daripada perniagaan milik keluarga saya di mana sebelum ini ia diuruskan oleh bapa dan ibu saudara dengan nama AJ Foods sejak 1998 di mana mereka mengeluarkan produk seperti cili sos, sos bbq, dan kemudian mayonis.
Selepas lebih 20 tahun beroperasi, bapa saya kemudiannya menyerahkan perniagaan beliau kepada saya dan adik Maisarah Ainual Azhar tiga tahun lalu untuk kami meneruskan legasinya.
Pada mulanya, saya berasa ragu dengan diri sendiri, namun selepas mendapat sokongan daripada ahli keluarga maka bermulalah perjalanan saya dan Maisarah menguruskan syarikat keluarga kami dengan menukarkan namanya kepada Jasma Holdings.
Selepas mengambil alih syarikat, kami bersetuju untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran Mayonis memandangkan produk ini memperoleh permintaan yang tinggi.
Bagaimana perjalanan Puan sebagai usahawan selepas mengambil alih perniagaan keluarga?
Pada mulanya ia bukanlah satu perkara yang mudah memandangkan saya tiada asas dalam perniagaan. Sebelum ini saya hanya bekerja sebagai akauntan yang keluar rumah awal pagi dan pulang lewat petang.
Pelbagai halangan dan cabaran saya dan adik lalui sepanjang tiga tahun menguruskan Jasma Holdings. Apa yang usahawan-usahawan lain pernah lalui dan rasai kami sudah lalui dan rasai.
Paling mencabar adalah semasa pandemik Covid-19 di mana pengeluaran kami amat terhad memandangkan langkah kawalan pergerakan meskipun masa itu permintaan tinggi memandangkan orang ramai duduk di rumah.
Kemudian, apabila baru mula hendak bernafas lega, kami berhadapan pula dengan kekadangan modal disebabkan kenaikan harga bahan mentah yang naik mendadak. Lebih parah, bahan mentah kami diimport dar luar negara dan sukar untuk memperolehnya. Tidak cukup dengan itu pembekal kami hanya menerima bayaran tunai sahaja. jadi memang terasa dengan situasi berkenaan.
Tetapi saya dan adik tanam di dalam minda kami bahawa lima tahun pertama perniagaan memang mencabar dan perlu kuat serta menguruskannya dengan penuh hati-hati serta teliti.
Ini kerana, bidang pengeluaran makanan sangat banyak rencahnya. Kalau kita tidak kuat fizikal dan mental pasti akan jatuh kerana kita perlu fikir dari segi bahan mentah, masalah mesin jika rosak dan pelbagai lagi.
Puan ada menyebut bahawa Jasma menggunakan bahan mentah yang diimport dan harganya meningkat. Boleh jelaskan lebih terperinci?
Mayonis jenama Jasma menggunakan bahan yang berkualiti bagi memastikan rasanya lazat. Jadi, bagi mendapatkan bahan berkualiti kami menggunakan tepung yang diimport dari Jerman.
Kami juga mengimport minyak kacang soya kerana teksturnya lebih baik berbanding menggunakan minyak kelapa sawit. Oleh sebab itu, kami berhadapan dengan cabaran kenaikan kos bahan mentah.
Bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan, kami mengambil keputusan untuk menumpukan kepada pengeluaran mayonis sahaja terlebih dahulu dan pengeluaran hanya berdasarkan permintaan.
Untuk memastikan kami terus beroperasi, Jasma Holdings mempelbagaikan jenis mayonis yang dikeluarkan seperti mayonis berperisa keju dan minyak bijan. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan.
Bagaimana pula persaingan melibatkan produk Mayonis?
Jasma Holdings merupakan perintis kepada pengeluaran mayonis dalam kalangan bumiputera di negara ini. Pada mulanya persaingan yang kami terima memang sengit, kerana perlu bersaing dengan jenama-jenama besar.
Malah kalau tanya saya, sehingga sekarang kami masih bersaing mendapatkan tempat dalam pasaran memandangkan semakin banyak jenama baharu mayonis muncul dengan harga lebih murah.
Tetapi Alhamdulillah mayonis Jasma masih mempunyai peminatnya sendiri memandangkan rasa mayonis kami ini kurang masam, lebih sihat serta menggunakan bahan berkualiti. Pelanggan-pelanggan kami memilih Jasma kerana kualiti bukan kerana harga. – UTUSAN










