PETALING JAYA: Kadar pengangguran yang menurun pada Jun kepada 3.4 peratus memberikan gambaran kepada para pelabur bahawa ekonomi Malaysia mempunyai daya tahan dan mampu berubah mengikut perkembangan ekonomi semasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pemulihan kadar pengangguran semasa kepada kadar hampir sama dengan sebelum pandemik menunjukkan kemampuan Malaysia untuk pulih dalam masa yang singkat.
Katanya, kadar pengangguran pada 2018 dan 2019 adalah pada kadar 3.3 peratus iaitu dibawah 500,000 orang dan perkembangan terbaharu ini juga memberikan petanda bahawa tenaga buruh negara sudah kembali ke aras sebelum pandemik melanda dunia.
“Sekiranya pelabur asing melihat pencapaian Malaysia, mereka pasti akan merasakan negara kita adalah sebuah negara yang menarik untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Untuk menarik pelaburan asing memerlukan strategi yang jelas dan diselaraskan yang memberi tumpuan kepada mewujudkan persekitaran perniagaan yang menarik, menawarkan insentif, membangunkan tenaga kerja mahir, melabur dalam infrastruktur dan membina hubungan antarabangsa yang kukuh.
“Secara jelasnya, mempunyai tenaga kerja yang mahir adalah antara daya tarikan utama kepada para pelabur,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan kadar pengangguran di Malaysia menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 3.4 peratus pada Jun 2023 berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Menurutnya, bilangan penganggur pada bulan itu juga menurun kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang sebelum itu.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pihaknya menjangkakan kadar pengangguran akan berterusan menurun tetapi dengan kadar yang lebih perlahan.
Jelasnya, ini mengambil kira faktor ekonomi global yang pertumbuhannya semakin perlahan.
“Apabila pertumbuhan ekonomi meningkat positif, ini bermakna berlaku peningkatan aktiviti ekonomi termasuklah perniagaan mengembang dan seterusnya mengambil lebih ramai pekerja, yang seterusnya akan mengurangkan kadar pengangguran.
“Memandangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini adalah positif pada 5.6 peratus, maka memang kadar pengangguran akan turun,” ujarnya.
Tambah beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan kekal meningkat secara positif tetapi lebih rendah dari suku tahun pertama.
“Suku tahun kedua mungkin 4.7 peratus dan keseluruhan 2023 sekitar empat hingga lima peratus,” jelasnya. – UTUSAN