Indeks Harga Pengeluar Malaysia turun 2.3 peratus

Indeks Harga Pengeluar Malaysia turun 2.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang, turun 2.3 peratus pada Julai 2023 berbanding negatif 4.8 peratus bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor Perlombongan turun sebanyak 10.8 peratus (Jun 2023: -16.6 peratus), disebabkan penguncupan indeks Pengekstrakan petroleum mentah (-14.8 peratus).

Beliau berkata, sektor Pembuatan pula turun 2.1 peratus, disebabkan oleh indeks Pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-11.7 peratus) dan Pembuatan produk makanan (-8.9 peratus).

Sementara itu, sektor Pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan pertama pada 2023, meningkat 3.6 peratus selepas penurunan dua digit 20.4 peratus pada Jun lalu.

Peningkatan itu disebabkan oleh indeks Pengeluaran ternakan (6.8 peratus) dan Penanaman tanaman kekal (1.2 peratus). Bagi sektor utiliti, indeks Bekalan air dan Bekalan elektrik dan gas, masing-masing meningkat 3.1 peratus dan 0.1 peratus.

“Pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat perlahan 0.2 peratus pada Julai 2023 (Jun 2023: -0.3 peratus). Sektor Perlombongan meningkat 3.1 peratus disebabkan oleh indeks Pengekstrakan petroleum mentah (4.2 peratus).

“Sektor Pertanian, perhutanan dan perikanan pula meningkat 1.0 peratus dengan indeks Penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus. Walau bagaimanapun, indeks bagi sektor Pembuatan menurun sebanyak negatif 0.2 peratus pada Julai 2023. Bagi sektor utiliti, indeks Bekalan elektrik & gas dan Bekalan air masing-masing turun sebanyak negatif 0.1 peratus dan negatif 0.3 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjelaskan bahawa inflasi di peringkat pengeluar di negara terpilih mula menunjukkan perubahan pada bulan dikaji.

IHPR Amerika Syarikat misalnya, meningkat 0.8 peratus berbanding 0.2 peratus pada Jun 2023., China turun 4.4 peratus (Jun, -5.4 peratus), India -1.4 peratus (Jun: -4.1 peratus) disebabkan oleh harga minyak mineral, logam asas dan produk kimia yang lebih rendah. IHPR Jepun pula meningkat pada kadar lebih perlahan sebanyak 3.6 peratus berbanding 4.3 peratus bulan sebelumnya disebabkan kos utiliti tenaga yang lebih rendah.

Mohd. Uzir berkata, harga global minyak mentah Brent berlegar pada purata AS$80/tong pada Julai, selepas mencapai purata AS$75/tong Jun 2023, menyumbang kepada kestabilan dalam sektor perlombongan.

“Bekalan minyak mentah diunjurkan terus terhad apabila Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ahli-ahlinya telah melaksanakan pengurangan pengeluaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN