IHH ambil alih Pusat Perubatan Timberland di Sarawak

IHH ambil alih Pusat Perubatan Timberland di Sarawak

Lakaran artis projek Pusat Perubatan Timberland baharu yang akan dibina di Kuching.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IHH Healthcare (IHH) memperluaskan perniagaannya ke Malaysia Timur dengan pengambilalihan Pusat Perubatan Timberland (TMC) di Sarawak, pada harga RM245 juta.

IHH, melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Pantai Holdings Sdn. Bhd., hari ini menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) dengan Saravita Holdings Sdn. Bhd. dan sembilan pengasas, untuk keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Bedrock Healthcare Sdn. Bhd. (BHSB) pada harga pertimbangan keseluruhan RM245 juta.

BHSB melalui anak syarikat milik penuhnya, memiliki aset utama dalam Pusat Perubatan Timberland di Kuching, Sarawak dan telah memperuntukkan sebidang tanah di tengah bandar itu untuk pembinaan hospital tertiari baharu dengan kemudahan 200 katil.

Pusat Perubatan Timberland yang telah beroperasi selama hampir 30 tahun, merupakan pusat perubatan swasta terkemuka di Kuching dan Borneo dengan kemudahan 82 katil.

Ia menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan dan pembedahan termasuk kardiologi, nefrologi, onkologi, gastroenterologi, pembedahan am, pembedahan ortopedik dan urologi.

Ketua Pegawai Strategi & Pembangunan Perniagaan Kumpulan IHH, Ashok Pandit berkata, pemerolehan dan pembangunan baharu itu akan mengukuhkan kedudukan IHH sebagai penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di seluruh Malaysia.

“Kedua-dua aset itu akan melengkapkan strategi kluster kami untuk Malaysia Timur dan menjadikan jumlah kapasiti katil IHH di Malaysia Timur kepada hampir 500 di masa depan,” katanya dalam kenyataan

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean-François Naa pula berkata, cadangan pengambilalihan akan membolehkan IHH mengukuhkan kedudukannya di Sarawak dengan meningkatkan kedudukan Timberland melalui operasi hospital tertiari 200 katil baharu yang akan dibina.

“(Ia melibatkan) pelaburan selanjutnya lebih kurang RM400 juta, untuk memenuhi keperluan tempatan serta pasaran pelancongan perubatan yang berkembang pesat dari Indonesia,” katanya.

IHH kini mengendalikan 16 hospital di seluruh Malaysia terdiri daripada 11 Hospital Pantai, empat Hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court.

Pengambilalihan yang dicadangkan tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan dijangka selesai pada separuh pertama 2024.  Jelas syarikat itu, proses berkenaan tidak akan mengganggu operasi membabitkan pesakit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN