KAJANG: Honda Malaysia melancarkan model City baharu dalam lima varian termasuk varian baharu RS pada harga bermula daripada RM84,900.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 2,400 unit model tersebut sebulan.
Katanya, model Honda yang paling dicari itu menerima reka bentuk yang diperbaharui, menampilkan bahagian luar yang lebih berani dan ciri-ciri canggih yang menawarkan kemudahan dan praktikal untuk pelanggan.
“Sejak diperkenalkan pada 2002, terdapat lebih 423,000 City di jalan raya Malaysia. City generasi kelima yang diperkenalkan pada 2020 meningkatkan lagi segmen B kerana Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang melancarkan varian e:HEV RS.
“Untuk terus menawarkan pelanggan kami dengan tawaran nilai dan ciri, City baharu akan tersedia dalam dua varian RS iaitu e:HEV RS dan Petrol RS, di mana pelanggan akan mempunyai lebih banyak pilihan berdasarkan keperluan dan permintaan mereka,” katanya pada majlis pelancaran City baharu di Forest Valley Hall, Bandar Mahkota Cheras dekat sini, semalam.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Operasinya, Sarly Adle Sarkum.
Sementara itu, Yoshimura berkata, varian S dijual pada harga RM84,900, E (RM89,900), V (RM94,900), Petrol RS (RM99,900) dan e:HEV RS (RM111,900).
Jelasnya, reka bentuk RS yang unik bagi City baharu menampilkan gril depan Honeycomb baharu, gril bawah depan baharu, peresap belakang baharu, skirting sisi baharu dan lambang RS yang direka bentuk baharu.
“Ciri-ciri luaran sporty lain termasuk bampar hadapan dan belakang baharu serta roda aloi dwi-tona 16 inci baharu.
“Varian Petrol RS dan e:HEV RS bagi City kini lebih panjang dengan reka bentuk bampar yang diperbaharui berukuran 4,589 milimeter (mm) panjang manakala varian S, E dan V adalah 4,580 mm panjang,” ujarnya.
Tambahnya, City Petrol RS dan e:HEV RS juga menerima sambungan telefon pintar dengan Honda CONNECT sebagai ciri lanjutan standard.
Jelasnya, dalam usaha untuk menawarkan lebih nilai, pelanggan kini mempunyai pilihan untuk melengkapkan City mereka dengan Honda CONNECT untuk varian bukan RS dengan tawaran harga istimewa RM1,500 sehingga Januari 2024.
City baharu ini ditawarkan dalam lima warna iaitu merah Ignite Metallic, putih Platinum Pearl, perak Lunar Metallic, kelabu Meteoroid Metallic dan hitam Crystal Pearl. – UTUSAN










