EP Manufracturing, BAIC International jalin kerjasama

EP Manufracturing, BAIC International jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BAIC International Development Co. Ltd. (BAIC International), sebahagian daripada Beijing Automotive Group Co Ltd (BAIC), sebuah syarikat Fortune Global 500 dan salah satu pengeluar kereta terbesar China.

Di bawah MoU itu, EPMB dan BAIC International merancang untuk bekerjasama dalam pengeluaran tempatan kenderaan utiliti sukan (SUV) BJ40P dan X55II BAIC.

“Kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama dalam pengeluaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) pemanduan kanan (RHD) dan juga kenderaan elektrik (EV) masa hadapan.

Selain itu, EPMB dan BAIC International juga bersetuju untuk bersama-sama membangunkan RHD EV berjenama BAIC untuk memenuhi permintaan pasaran RHD Malaysia dan negara Asia Tenggara lain,” maklum syarikat itu dalam pemfailan di Bursa Malaysia.

Jelasnya, pembangunan pangkalan pemasangan dan pengeluaran tempatan dengan EPMB merupakan bahagian penting dalam rancangan BAIC International untuk mewujudkan rangkaian perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk kenderaan pacuan kanan di Malaysia.

Tambahnya, sekiranya kedua-dua syarikat mencapai persetujuan muktamad, EPMB akan bertanggungjawab untuk pemasangan tempatan BJ40P, X55II dan model BAIC ICE dan EV masa hadapan.

“EPMB juga akan bertanggungjawab untuk mengeluarkan alat ganti untuk kenderaan ini di Malaysia, sejajar dengan visi kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kandungan tempatan kereta yang dipasang di Malaysia, dan mengukuhkan keupayaan industri automotif,” jelasnya lagi.

BAIC International ialah anak syarikat milik penuh BAIC Motor Corporation., Ltd. (HK:1958), entiti tersenarai Bursa Saham BAIC Hong Kong. BAIC International terlibat terutamanya dalam pelaburan luar negara yang berkaitan dengan BAIC, dan eksport kereta, alat ganti dan komponen BAIC.

Pada 2022, BAIC melaporkan pengeluaran dan jualan 1.45 juta kenderaan termasuk sedan, EV dan kenderaan utiliti sukan (SUV). Syarikat itu mencatatkan pendapatan sebanyak AS$74.69 bilion (RM338.04 bilion), menjadikannya pengeluar kereta China keempat terbesar dalam Fortune Global 500.

BAIC ialah pemegang saham individu terbesar Mercedes-Benz Group AG, dengan 9.98 peratus kepentingan dalam pembuat kereta Jerman itu.

Pada tahun 2022, usaha sama BAIC dengan Daimler AG bertanggungjawab untuk pengeluaran dan penjualan 600,000 kenderaan Mercedes-Benz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN