PETALING JAYA: Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), agensi focal point ekosistem startup Malaysia, telah menyumbang sebanyak RM1.83 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melalui program geran dan pelaburan sejak penubuhannya pada 2003.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Cradle telah memenuhi mandat utamanya, iaitu untuk membiayai usahawan startup (syarikat pemula) tempatan dengan menyalurkan geran sebanyak RM255 juta kepada lebih 1,000 usahawan.
Penerima geran Cradle juga katanya, telah menyumbang RM830 juta kepada KDNK negara, yang mana mereka mencatat kadar pengkomersilan tertinggi dalam kalangan penyedia geran kerajaan pada 100 peratus untuk geran pengkomersilan, dan 76 peratus untuk program geran prototaip.
“Sehingga kini, penerima geran Cradle telah menyediakan lebih daripada 80,000 peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, program pelaburan Cradle, Cradle Seed Ventures (CSV) dan DEQ800, telah menyumbang sebanyak RM1 bilion kepada KDNK negara melalui 43 portfolio pelaburan, dan memperoleh pelaburan susulan bernilai RM182 juta.
Sehingga kini, usahawan yang dibiayai oleh program CSV dan DEQ800 telah menyediakan lebih daripada 1,000 pekerjaan.
“Dalam usaha untuk memastikan kelangsungan impak positif, mandat Cradle telah dikembangkan melangkaui pembiayaan geran untuk meliputi program pembinaan kapasiti seperti Coach and Grow Programme (CGP) yang menawarkan bimbingan kepada startup peringkat awal. Sehingga kini, CGP telah memberi manfaat kepada lebih daripada 1,500 peserta melalui 5,000 jam sesi bimbingan,” jelas MOSTI.
Tambahnya, susulan pengumuman Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021- 2030, Cradle berperanan untuk membentuk dasar startup negara serta menyelia 16 intervensi komprehensif yang merangkumi lima bidang utama, iaitu pembiayaan, bakat, inovasi, dasar dan peraturan serta ekosistem pasaran, dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada 20 ekosistem startup terbaik di dunia menjelang 2030.
MYStartup, komuniti dipacu data yang diperkenalkan oleh MOSTI dan digerakkan oleh Cradle, berfungsi sebagai salah satu intervensi di bawah SUPER 2021-2030 dengan matlamat untuk memacu pembangunan ekosistem startup negara.
Sehingga kini, inisiatif MYStartup telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 pemain industri. Portal MYStartup juga telah menerima lebih daripada 70,000 daripada lawatan (website visits), yang mana lebih daripada 4,000 merupakan pengguna berdaftar dan 3,500 startup, tambahnya lagi.

Mengulas pencapaian Cradle, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pengiktirafan yang diperoleh Cradle melambangkan dedikasi tenaga kerjanya yang sentiasa berusaha untuk memartabatkan usahawan serta mendorong perkembangan ekosistem startup tempatan.
Jelas beliau, startup memainkan peranan penting dalam memacu inovasi negara, yang mana mereka sentiasa mencari ruang untuk mencipta norma baharu dan tidak gentar pada risiko.
“Daya tahan dan kecekapan mereka terbukti di mana mereka berjaya mengharungi pandemik Covid-19 dan muncul dengan produk-produk yang lebih berinovatif.
“Dengan itu, jelas bahawa Cradle merupakan nadi kepada kejayaan ini, dan saya percaya, agensi ini akan terus memupuk ekosistem startup yang dinamik serta mendorong pertumbuhan startup peringkat awal,” katanya, sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Cradle ke-20.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Cradle, Norman Matthieu berkata, mandat-mandat yang telah diamanahkan kepada Cradle mencerminkan keyakinan serta keupayaan agensi itu untuk menerajui pembangunan usahawan startup peringkat awal serta mengukuhkan ekosistem tempatan.
Beliau berkata, Cradle sedar bahawa kecekapan usahawan startup harus dipupuk selari dengan perkembangan teknologi dunia, bersesuaian dengan peningkatan keperluan pendanaan mereka.
“Oleh itu, mandat yang diamanahkan kepada Cradle telah diselarikan untuk mewujudkan pendekatan sinergi yang membolehkan usahawan startup ini berkembang maju melalui integrasi yang lancar yang juga akan memaksimumkan potensi mereka. Pendekatan ini juga diharap dapat membantu usahawan startup untuk mengharungi cabaran industri, menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Bertemakan “20 Tahun dalam Memangkin Impak dan Inspirasi Pertumbuhan”, Cradle telah menganjurkan majlis penghargaan untuk meraikan ahli-ahli Cradle dan pemain industri yang telah menyumbang kepada kejayaan ekosistem startup negara.
Sebanyak empat anugerah telah diberikan ketika majlis sambutan tersebut dengan kategori – Pengasas Wanita Terbaik (Best Female Founder) diberikan kepada Pengasas Bersama TresGo Sdn. Bhd., Nadhra Fauzi; Pengasas Lelaki Terbaik (Best Male Founder) (Pengasas MoneyMatch, Adrian Yap dan Naysan Munusamy), Bakal Startup Berjaya (Most Promising Startup)(Pengasas NEUON AI, Chai Kok Chin) dan Anugerah Pilihan Cradle (Cradle Startup Choice)(Pengasas Involve Asia, Jimmy How). – UTUSAN










