PETALING JAYA: BMW Malaysia mengumumkan ketibaan BMW i4 eDrive35 dalam dua varian yang mempesonakan, iaitu BMW i4 eDrive35 dan BMW i4 eDrive35 M Sport.
Ketibaan varian baharu itu membuka lembaran baharu bagi pengalaman pemanduan lestari dan berprestasi tinggi di Malaysia. Varian BMW i4 eDrive35 terbaharu membawakan aneka teknologi canggih serta emisi rendah karbon.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, varian-varian BMW i4 eDrive35 terbaharu kini menyertai jentera BMW i4 M50 yang sulung, dilancarkan di Malaysia Autoshow 2023 pada awal tahun ini.
“Dengan irasnya yang serba sporty lagi elegan, berserta prestasi dan keupayaan pemanduan yang luar biasa, ia terus mengangkat komitmen kami ke atas mobiliti berelektrik.
“BMW i4 eDrive35 dan BMW i4 eDrive35 M Sport membuktikan aspirasi kami terhadap kenderaan elektrik berprestasi tinggi di negara ini.
“Sempena ulang tahun ke-20 kami dalam menyampaikan inovasi, kesedaran alam sekitar, dan solusi-solusi pemanduan yang serba mewah di Malaysia, kami teruja untuk menyambut dua kenderaan cemerlang ini yang sejajar sepenuhnya dengan visi kami untuk masa depan mobiliti mampan dalam landskap automotif tempatan,” katanya dalam kenyataan.
BMW i4 eDrive35 baharu menggandingkan reka bentuk progresif, aerodinamik yang cemerlang, dan gaya tubuh Gran Coupé empat pintu.
Dengan pelan pembiayaan “Straight Line” yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW i4 eDrive35 baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM3,358.00, dan BMW i4 eDrive35 M Sport bermula daripada RM3,657.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh tujuh tahun).
Harga runcit yang disyorkan dengan waranti dan pakej servis lanjutan (BSRI) untuk BMW i4 eDrive35 Baharu adalah RM 273,800.00, manakala untuk BMW i4 eDrive35 M Sport Baharu pula RM 299,800.00. – UTUSAN










