Armada Houseboat tawar percutian di Tasik Kenyir

Armada Houseboat tawar percutian di Tasik Kenyir

ILHAM Azmi (kanan) bersama pekerjanya di hadapan rumah bot miliknya di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Tertarik dengan inovasi dua sahabat yang membina rumah bot de­ngan rekaan luaran seperti bang­lo, menjadi inspirasi kepada seorang usahawan, Ilham Azmi untuk melibatkan diri dalam perniagaan pengangkutan air tersebut di Tasik Kenyir di sini sejak 2018.

Menurut beliau, kebiasaannya rumah bot dibina menggunakan kayu dan beratap zink, namun dia teruja melihat keunikan rumah bot tersebut dan berhasrat memilikinya.

Pemilik Armada Houseboat itu berkata, pada masa ini, dia mempunyai dua buah rumah bot yang beroperasi di tasik tersebut dan merancang untuk menambah bilangannya selepas ini.

“Kebiasaannya, rumah bot kelihatan tidak menarik kerana reka bentuk beratapkan zink dan berdindingkan kayu sahaja, namun dua rakan saya itu membuat pembaharuan dengan menyediakan pelbagai kemudahan seolah-olah rumah bot itu adalah rumah banglo yang berada di atas air.

“Percutian indah di Tasik Kenyir akan menjadi sempurna sekiranya dapat menginap di rumah bot yang selesa dan lengkap dengan peralatan, kemudahan serta layanan perkhidmatan terbaik sama seperti penginapan hotel di daratan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ilham memberitahu, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan semua pelancong menerima layanan istimewa yang setimpal dengan harga dibayar agar percutian di Tasik Kenyir menjadi memori manis buat mereka.

“Sama seperti di hotel atau resort bertaraf tiga hingga lima bintang di daratan, perkhidmatan yang disediakan di rumah bot miliknya mesti meme­nuhi kriteria ditetapkan jabatan dan agensi bertanggungjawab,” ujarnya.

SEBAHAGIAN pengunjung yang menggunakan perkhidmatan rumah bot milik Ilham Azmi ketika bercuti di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Tasik Kenyir merupakan sebuah tasik buatan dengan keluasan 38,000 hektar yang menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung di Terengganu.

Antara lokasi percutian yang sering menjadi pilihan pelancong di kawasan tasik tersebut ialah santuari ikan kelah, air terjun Lasir, Pulau Herba, Gua Bewah dan Pulau Orkid serta beberapa lubuk ikan yang terkenal di tasik tersebut.

Ilham menambah, ketika ini, dua rumah bot miliknya mampu memuatkan 25 tetamu pada satu-satu masa dengan harga berbeza iaitu RM2,400 untuk penginapan dua hari satu malam dan RM4,500 untuk penginapan tiga hari dua malam.

Jelasnya, antara kemudahan yang disediakan ialah bilik tidur pelbagai jenis, tempat makan yang luas, dapur, peralatan barbeku, khidmat memasak (bergantung keperluan pelanggan), tandas, bilik mesyuarat dan bilik karaoke.

Ilham yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia dan Hospitaliti Pelancongan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, kesemua pekerjanya memiliki lesen sebagai pemandu pelancong alam semulajadi yang diiktiraf kerajaan negeri Terengganu serta Jabatan Pelancongan.

“Selain itu, kami juga memiliki kemahiran asas penyelamat dalam air sebagai langkah awal untuk memberi pertolongan cemas sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadap pelanggan rumah bot kami.

“Kemuncak kepuasan kami adalah sekiranya semua pelancong dapat pulang ke jeti de­ngan selamat kerana mereka akan berkongsi pengalaman indah percutian bersama Armada Houseboat dengan rakan taulan serta saudara mara yang lain.

“Ini adalah konsep pemasaran paling berkesan iaitu promosi mulut ke mulut dan keba­nyakan pelanggan kami biasanya mendapat cadangan menggunakan perkhidmatan Armada Houseboat daripada kenalan mereka yang telah bercuti dengan kami sebelum itu,” katanya.

Ditanya mengenai impian dalam tempoh lima tahun lagi, Ilham berkata, dia bercadang mahu meneroka pasaran antarabangsa dengan memperkenalkan pakej percutian yang menawarkan lebih banyak privacy untuk pelancong kerana ia adalah trend semasa.

“Impian saya mahukan rumah bot dengan kapasiti yang lebih kecil, mungkin dengan konsep terbuka (open space) sesuai untuk menepati cita rasa percutian pasangan suami isteri atau kelompok kecil golongan korporat.

“Saya percaya dengan promosi hebat yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, impian itu pasti akan tercapai dalam merancakkan industri pelancongan Tasik Kenyir dan Terengganu amnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN