PETALING JAYA: Soft Space Sdn. Bhd. (Soft Space), penyedia perkhidmatan teknologi kewangan, telah diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Aplikasi Perniagaan dan Komersial Terbaik di acara Anugerah Aplikasi Pintar Asia (Asia Smart App Awards) 2022/2023 di Hong Kong baru-baru ini.
Anugerah tersebut disampaikan menerusi penyertaan produk utama mereka, Fasstap™, teknologi Titik Jualan berasaskan perisian (SoftPOS) yang menguasakan peranti pintar dengan keupayaan Komunikasi Medan Dekat (Near Field Communication) untuk menerima bayaran tanpa pemasangan terminal pembayaran yang berat dan mahal.
Pada masa yang sama, Soft Space turut memenangi Anugerah Merit dalam kategori sama menerusi aplikasi FassPOS yang digunapakai dalam industri penerbangan untuk meningkatkan pengalaman pengguna menerusi kualiti perkhidmatan jualan, pengurusan stok dan penerimaan bayaran dalam semua mata wang utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Soft Space, Joel Tay berkata, pihaknya amat berbangga dapat mengibarkan Jalur Gemilang menerusi teknologi SoftPOS buatan Malaysia syarikat itu, iaitu Fasstap™.
“Pada masa yang sama, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Industri Teknologi Tanpa Wayar Hong Kong (Hong Kong Wireless Technology Industry Association/WTIA) dan Create Hong Kong bawah kerajaan Hong Kong atas pengiktirafan ini.
“Pastinya kami tidak dapat mencapat tahap ini tanpa sokongan padu daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang banyak mendorong kami untuk berkembang dengan lebih cepat dan lebih jauh serta memberi tunjuk ajar hingga kami menjadi syarikat terbaik dalam kalangan negara Asia umumnya dan Malaysia khususnya,” katanya dalam kenyataan.
MDEC, sebagai sebuah agensi bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang memacu ekonomi digital Malaysia, menawarkan pelbagai bentuk sokongan dan sumber kepada usahawan menerusi inisiatif strategik kebangsaan Digital Malaysia dan menguasakan program PEMANGKIN.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC. Ts. Mahadhir Aziz berkata, MDEC amat berbangga dapat menyaksikan sebuah syarikat tempatan yang berjaya merentas sempadan dan menjana impak global.
Beliau berkata, kejayaan Soft Space mampu membuka era baharu bagi syarikat Malaysia, justeru mendorong mereka untuk meluaskan capaian mereka serta menarik bakal pelabur.
“Kami menggesa syarikat tempatan untuk menerapkan inovasi teknologi, bukan sekadar dalam pasaran tempatan malah untuk penggunaan pasaran antarabangsa. Kejayaan ini juga membuktikan komitmen penuh MDEC dalam memberikan sokongan terhadap ekonomi digital Malaysia, memacu pertumbuhan dan meningkatkan pembangunan ekonomi negara. Kami berharap dapat meneroka peluang baharu dan menggalakkan kejayaan syarikat tempatan yang lain,” katanya. – UTUSAN










