PETALING JAYA: SIRIM Berhad bekerjasama dengan Fujimori-Zacros dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menghasilkan plastik biodegradasi daripada sisa minyak masak sayuran sebagai usaha untuk mempromosikan ekonomi lestari dan ekonomi kitaran kepada negara.
Kerjasama itu untuk menghasilkan “Polyhyroxy alkanoates (PHA)” secara optimal, bagi menghasilkan plastik biodegradasi daripada sisa minyak sayuran yang menggunakan stain mikrob tempatan.
Bioplastik biodegradasi PHBV akan digunakan dalam pengeluaran plastik biodegradasi sekali guna seperti kutleri dan pembungkusan makanan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama antara agensi berkenaan, USM dan Fujimori-Zacros dapat mengukuhkan kemampuan penyelidikan, memacu inovasi dan mencapai perkembangan lestari dalam landskap yang dinamik dan saling berhubung pada masa kini.
Beliau berkata, projek itu disokong oleh penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik USM dan diperkukuhkan lagi dengan pakar di SIRIM dalam bioproses, membenarkan peningkatan skala dalam proses pengeluaran bioplastik.
Katanya, penglibatan kumpulan Fujimori-Zacros dari Jepun, pengeluar antarabangsa bahan pembungkusan, dapat membentuk satu konsortium antarabangsa, menjadi langkah penting ke arah Produk Inovasi Malaysia yang menyokong kelestarian alam sekitar dengan menggunakan sisa tempatan untuk produk bio boleh guna semula.
“Projek ini juga menegaskan komitmen SIRIM untuk menerajui penubuhan agenda Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam aktiviti organisasi kami, terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan untuk mendorong kelestarian industri negara,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ahmad Sabirin, plastik biodegradasi yang terhasil daripada sisa minyak sayuran menawarkan beberapa kelebihan berbanding plastik tradisional, terutamanya dalam mencegah pengurangan sumber; mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dan menyumbang kepada ekonomi kitaran.
“Kelebihan lain bagi projek ini termasuk kesejahteraan pekerja, pemprosesan hiliran menggunakan proses penulenan unik yang menghapuskan penggunaan pelarut organik sepenuhnya, memastikan keselamatan pekerja dan melupuskan keperluan untuk rawatan sisa utama,” jelasnya. – UTUSAN










