PROTON X90 saingi kenderaan Jepun, Eropah

PROTON X90 saingi kenderaan Jepun, Eropah

X90 Flagship spesifikasi terbaik yang ditawarkan kepada pengguna. – UTUSAN/ ANUAR NORICK SABARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umum mengetahui Proton telah pun melancarkan model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) terkini syarikat itu dan acara pelancaran tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Umum juga mengetahui ia adalah tambahan kepada edisi SUV Proton yang telah pun berada di pasaran seperti X70 dan X50.

Maka, timbullah persoalan apakah kelainan X90 ini? Ikuti kupasan saya hasil uji pandu yang telah dibuat baru-baru ini.

REKABENTUK FIZIKAL
Besar. Ianya tampak lebih besar dari pandangan luaran, malah boleh dikatakan tampak lebih besar daripada X70.

Dari luar kenderaan juga dapat anda perhatikan bahawa penggunaan roda 19 inci untuk versi Flagship dan Premium, sementara untuk versi-versi lain (Standard dan Eksekutif) dibekalkan dengan roda 18 inci. Jika diintai pula bahagian bumbung, hanya varian Flagship yang mempunyai ‘Panoramic Sunroof’. Untuk ciri-ciri fizikal yang lain, sekiranya sekali imbas, ianya kelihatan serupa antara keempat-empat variasi yang disediakan oleh Proton.

Apabila anda masuk ke bahagian dalam kabin, untuk variasi flagship, perbezaan utama akan terlihat pada kerusi di barisan kedua. Hanya 2 kerusi yang disediakan dan kedua-dua kerusi ini mempunyai tempat untuk merehatkan lengan. Rekaan ini lebih dikenali sebagai jolokan nama “Captain’s Seat”, dan tidak terdapat pada variasi yang lain. Ini menjadikan jumlah maksimum kapasiti penumpang beserta pemandunya hanyalah 6 orang (2 di barisan pertama, 2 di barisan kedua dan 2 di barisan belakang.) Sementara itu, untuk variasi X90 yang lain adalah untuk 7 orang (2 di barisan pertama, 3 di barisan kedua dan 2 di barisan belakang).

Sekali lagi, selaku varian Flagship dan Premium, kerusi-kerusinya dibaluti dengan kulit lembut jenis “Nappa” sementara untuk varian Eksekutif, kulit campuran digunakan dan varian Standard menggunakan fabrik.

Ciri-ciri dalaman yang lain hampir serupa, tetapi sudah tentulah, sistem bantuan pemanduan dan keselamatan elektronik lebih lengkap dan serba moden terdapat pada varian Flagship dan Premium.

PEMANDUAN

Dalam soal ini, saya hanya diberi kesempatan menguji varian Flagship iaitu varian yang paling lengkap dan `termewah’ dalam kalangan varian X90.

Untuk varian flagship yang saya uji pandu, fakta tentang kapasiti enjin X90 ini agak menggusarkan saya pada mulanya. Ketika X70 diperkenalkan, ia menggunakan enjin 1.8cc dan kemudiannya ditukar kepada penggunaan enjin 1.5 GDI. Begitu juga dengan model X50 yang lebih kompak dan sporty, juga menggunakan enjin 1.5.

Dengan pengenalan model X90 yang secara fizikalnya lebih besar dan kapasiti penumpangnya yang ramai itu, mengapakah Proton masih membekalkan model terbaharu ini dengan enjin berkapasiti 1.5cc juga?

Ternyata mereka sudah bersedia untuk memberikan prestasi enjin yang sepadan dengan saiz fizikal model ini. Walaupun begitu, Proton dengan sukacitanya mengumumkan ia disasarkan kepada pemilik yang berkeluarga. Oleh itu, penggunaan enjin yang bersesuaian kuasa tujahannya dan kuasa kelajuan maksimumnya harus diimbangi dengan faktor keselamatan serta faktor ekonomi penggunaan bahan api.

Enjin 1477cc yang digunakan oleh X90 ini adalah 3 silinder selari, 130KW pada kadar RPM 5,500. Sementara tork maksimumnya adalah 255Nm pada kadar RPM 4,000. Penggunaan 12 injap dengan sistem DOHC, berserta dengan sistem TGDi (Turbo Gasoline Direct Injection) dengan sokongan motor elektrik 48V.

Jika fakta-fakta di atas diambil kira, prestasi enjin X90 saya boleh rumuskan bahawa ia seolah-olah dicipta untuk pemanduan yang sekata, lancar dan tidak agresif. Ini tidak bermaksud X90 tidak mampu mencapai kelajuan tinggi malah, saya berupaya mengujinya selaju 170km/j tanpa terdapat sebarang gangguan mekanikal atau bunyi enjin yang terlalu ‘meraung’.

Melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang agak terkenal dengan sifatnya beralu-alun itu, sistem suspensi X90 pada mulanya dirasakan agak terapung, dan perasaan steringnya agak terlalu ringan. Perasaan ini sebenarnya mampu dihilangkan apabila anda melaras semua tahap pengendalian stering yang boleh tukar kepada mod ‘sports’. Ini dapat merubah rasa pemanduan dengan stering yang lebih stabil dan suspensi juga boleh dilaras dengan penukaran mod enjin keadaan sedikit teguh daripada sebelumnya.

Seperti dikatakan, X90 menitik beratkan aspek keselamatan dalam pemanduan. Sistem bantuan pemanduan elektronik seperti AEB (brek kecemasan), FCW (amaran halangan hadapan), RCW (amaran objek di belakang), ACC (sistem kawalan pelayaran/pergerakan) dengan kebolehan berhenti dan kembali bergerak (stop and go), LDW (amaran terkeluar laluan), LDP (Bantuan pembetulan laluan), TSI (sistem identifikasi tanda lalu lintas) dan beberapa sistem bantuan pemanduan lagi yang agak terlalu banyak untuk dinyatakan di sini, disediakan untuk variasi Premium dan Flagship.

Jujur, saya terpaksa menutup beberapa bunyi amaran elektronik tersebut kerana hampir mengganggu konsentrasi pemanduan saya.

KESIMPULAN

Faktor bantuan keselamatan dan pemanduan elektronik yang terdapat pada X90 agak mengujakan dan jelas menunjukkan Proton boleh menghasilkan kenderaan yang setanding dengan kenderaan terkini Jepun mahupun dari Eropah. Malah, kalau daripada faktor sistem sokongan pemanduan elektronik juga, Proton boleh dikatakan berjaya menyaingi pesaingnya.

HANYA variasi Flagship yang dilengkapi dengan Panoramic Roof.

Cuma saya dapati, terdapat 2 kelemahan utama dalam model X90. Pertama, soal keselesaan kerusi-kerusinya yang saya dapati ia tidak seempuk kenderaan SUV lain. Malah, saya masih merasakan Proton X70 (1.5 TGDI) lebih empuk berbanding X90.

Keduanya, X90 menggunakan skim warna beige atau seperti putih ‘cream’ sebagai warna salutan dalaman bumbungnya. Memandangkan X90 disasarkan untuk kegunaan keluarga, keindahan warna terang ini bakal dicemari dengan bekas-bekas tapak tangan anak-anak, samada kotoran daripada makanan atau pun kekotoran lain. Sepatutnya, menggunakan material seperti kulit atau yang hampir serupa dengannya dan berwarna gelap, bagi membolehkan kotoran boleh dibersihkan dengan senang dan tidak memburukkan suasana dalam kabin.

Harga jualan bermula daripada RM 123,800 untuk varian Standard, hingga RM 152,800 untuk varian Flagship, membuktikan bahawa Proton bukan lagi selaku pembuat kereta murahan, malah mampu menghasilkan variasi kenderaan mewah dan juga yang trending di pasaran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN