PETALING JAYA: Kenangan Research mengunjurkan pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 1.8 peratus pada 2023, lebih tinggi sedikit daripada panduan pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus di bawah parameter Tempoh Kawal Selia 3 (RP3).
Penganalisis Kenanga, Joshua Ng berkata, pertumbuhan permintaan akan didorong sebahagian besarnya oleh pemulihan dalam sektor perindustrian di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu katanya, kos bahan api, kedua-dua harga arang batu dan gas berada dalam aliran rendah sejak awal tahun selepas rali pada 2022 disebabkan oleh krisis tenaga global yang dicetuskan oleh perang Rusia-Ukraine.
“Harga arang batu yang menjadi penanda aras Indonesia telah berkurang sebanyak 32 peratus setakat ini kepada AS$191 daripada AS$281 pada Disember 2022.
“Hasilnya, Tenaga Nasional Berhad (Tenaga) dipandukan oleh Pelaksanaan mekanisma Pelepasan Kos (ICPT) sebanyak RM9.0 bilion pada separuh kedua tahun kewangan 2023 berbanding RM16.2 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2023.
“ICPT yang lebih rendah itu akan mengakibatkan penghutang ICPTnya merosot kepada RM10.2 bilion menjelang Jun 2023, daripada RM16.9 bilion dalam suku keempat tahun kewangan 2022.
“Sebaliknya, penurunan dalam penghutang ICPT akan menghasilkan aliran tunai yang lebih kukuh yang akan membantu mengurangkan hutang Tenaga dan kos faedah dalam separuh kedua tahun kewangan 2023.
“Namun, tidak dilupakan, Tenaga sebelum ini telah mencatatkan kos pinjaman yang tinggi pada suku keempat tahun kewangan 2022 (meningkat 19 peratus tahun ke tahun kepada RM1.14 bilion) kerana ia menggunakan peminjaman jangka pendek untuk membiayai modal kerjanya akibat daripada kekurangan pemulihan kos bahan api,” katanya dalam nota kajian.
Mengulas lanjut, Joshua berkata, sementara pergerakan harga gas mempunyai kesan neutral dalam jangka masa panjang kerana ia dikawal selia oleh rangka kerja, aliran penurunan harga gas semasa memberi kesan positif kepada Petronas Gas Berhad buat masa ini kerana harga gas yang rendah membawa kepada penggunaan gas dalaman yang lebih rendah (kos input) untuk perniagaan terkawal serta segmen utiliti tidak terkawal.
Segmen utiliti menggunakan gas sebagai bahan api untuk menjana dan membekalkan tenaga, aliran dan gas industri kepada industri.
Bagaimanapun, harga gas yang lebih lemah terhadap margin runcit tidak terkawal diterima baik oleh Gas Malaysia Berhad (GASMSIA) memandangkan ia dikira berdasarkan peratusan tetap pada harga jualan gas.
Sementara itu, pendapatan kukuh daripada PowerSeraya YTL Power International Berhad (YTLPOWR) dijangka berterusan sekurang-kurangnya dalam dua hingga tiga tahun akan datang kerana harga runcit yang baik mungkin akan disokong oleh ketiadaan kilang minyak di Singapura manakala kos input seperti harga gas mungkin kekal rendah kerana ia telah mengunci harga gas yang rendah sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.
Sebaliknya, penurunan mendadak harga arang batu memberi kesan negatif ke atas Malakof Corp Berhad (Malakof) kerana keputusan suku pertama tahun kewangan 2022 kumpulan terjejas teruk oleh kerugian margin bahan api sebanyak RM70 juta sementara purata kos wajaran arang batunya datang lebih tinggi daripada harga arang batu (ACP) yang berkenaan.
Walau bagaimanapun, kerana penurunan dalam ACP berlaku secara beransur-ansur sejak kebelakangan ini, kesannya pada pendapatan akan menjadi kurang ketara dalam jangka sederhana.
Justeru, Kenanga Research mengubah pandangan OVERWEIGHT terhadap sektor utiliti daripada pandangan NEUTRAL sebelum ini.
“Kami suka sektor ini kerana daya tahan pendapatan, terutamanya oleh model asas aset terkawal syarikat, yang seterusnya memberi hasil dividen yang baik dan berulang sebanyak 4.0 peratus hingga 6.0 peratus,” katanya.- UTUSAN










