PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia merosot, jatuh 16.3 peratus pada Jun lalu kepada RM222.1 bilion daripada RM265.4 bilion tempoh sama tahun lalu.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), seiring dengan itu, eksport dan import juga mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 14.1 peratus dan 18.9 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan eksport didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.
Beliau berkata, eksport domestik bernilai RM93.8 bilion, menyumbang 75.7 peratus kepada jumlah eksport, mencatatkan penurunan 15.2 peratus pada bulan dikaji. Eksport semula pula berjumlah RM30.2 bilion, menyusut 10.3 peratus, berbanding Jun 2022.
“Import turut turun 18.9 peratus daripada RM121.1 bilion kepada Rm98.2 bilion. Sementara lebihan dagangan Malaysia pada Jun 2023 meningkat kepada RM25.8 bilion berbanding tahun sebelumnya. Ini merupakan lebihan dagangan ke-38 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, berbanding Mei, eksport dan lebihan dagangan meningkat 3.7 peratus dan 64.4 peratus, manakala import dan jumlah dagangan menguncup masing-masing 5.4 peratus dan 0.5 peratus.
Beliau menjelaskan, pengurangan eksport disumbangkan terutamanya ke Amerika Syarikat yang susut sebanyak RM3.2 bilion, diikuti Kesatuan Eropah (EU) susut RM2.7 bilion, Bangladesh (-RM1.9 bilion), Jepun (-RM1.8 bilion), India (-RM1.7 bilion), Thailand (-RM1.6 bilion), China (-RM1.5 bilion), Taiwan (-RM1.1 bilion) dan Hong Kong (-RM1. 0 bilion).
Sementara itu, penurunan import terutamanya disumbangkan dari China sebanyak RM6.1 bilion, diikuti Taiwan (-RM2.7 bilion), Republik Korea (-RM2.6 bilion), Amerika Syarikat (-RM2.5 bilion), Singapura (-RM2.4 bilion), Indonesia (-RM1.9 bilion), Australia (-RM1.6 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.6 bilion) dan India (-RM1.1 bilion).
Menurut Mohd. Uzir, penurunan eskport didorong oleh minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit yang susut sebanyak RM5.3 bilion. Ini diikuti keluaran petroleum (-RM5.1 bilion); gas asli cecair (-RM2.6 bilion); petroleum mentah (-RM1.4 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak sawit (-RM1.4 bilion) dan kimia & bahan kimia (-RM1.3 bilion).
Sementara itu, penguncupan import direkodkan bagi barangan elektrik & elektronik (-RM7.2 bilion); keluaran petroleum (-RM7.1 bilion); kimia & bahan kimia (-RM2.2 bilion); barangan perkilangan logam (-RM1.5 bilion); kelengkapan pengangkutan (-RM1.4 bilion); gas asli cecair (-RM1.1 bilion); barangan besi & keluli (-RM1.0 bilion).
Beliau menambah, penurunan import mengikut Penggunaan Akhir disumbangkan oleh permintaan yang lebih rendah bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.
Dalam pada itu, jumlah dagangan bagi suku tahun kedua (ST2) 2023 berkurang 11.3 peratus kepada RM643.2 bilion, berbanding ST2 2022. Eksport jatuh 11.1 peratus daripada RM392.3 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM348.7 bilion dan import yang bernilai RM294.5 bilion, menurun 11.5 peratus. Lebihan dagangan RM54.1 bilion dicatatkan bagi tempoh tersebut, menyusut 8.8 peratus.
“Dalam tempoh enam bulan pertama 2023, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan penurunan. Jumlah dagangan menurun 4.6 peratus, disokong oleh penurunan eksport (-4.5%) serta import (-4.7%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan nilai yang lebih tinggi pada RM118.5 bilion,” jelas beliau. – UTUSAN










