PETALING JAYA: Penerokaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perniagaan tenaga boleh baharu (TBB) di Eropah membolehkan Malaysia menggarap pengetahuan berharga untuk mempercepatkan Peralihan Tenaga (ET) bertanggungjawab negara.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penerokaan itu dibuat melalui melalui anak syarikat milik penuh TNB di United Kingdom (UK), Vantage RE Ltd.
Katanya, penting bagi Malaysia untuk berjaya mengemudi peralihan tenaga ini, sambil mengimbangi isu-isu seperti keterjaminan tenaga, ekuiti tenaga dan kelestarian alam sekitar.
“Saya berharap Vantage RE akan terus berkembang dan mencapai kemajuan lebih besar pada tahun-tahun akan datang.
“Idea dan kepakaran anda (Vantage RE) amat berharga ketika kami memacu matlamat ET yang dicita-citakan,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Nik Nazmi melakukan lawatan kerja ke Vantage RE dan merasmikan ibu pejabat baharu syarikat itu di 20 Eastbourne Terrace. Beliau turut melawat ladang angin luar pesisir Vantage RE di luar pesisir pantai Blyth, Pantai Timur Laut England.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan sedang meneroka pasaran import dan eksport tenaga dan berhasrat agar Malaysia memainkan peranan penting dalam Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid – APG).
“Saya yakin bahawa pengalaman UK menjadi panduan penting untuk Malaysia dalam usaha kita meneruskan visi ini,” ujarnya.
Dalam pada itu,Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, Vantage RE ialah komponen penting dalam perjalanan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab TNB dan pengalaman besar yang diperolehi di UK meletakkan TNB dalam
kedudukan yang unik untuk memanfaatkan lebih banyak peluang.
“Perniagaan TBB antarabangsa adalah salah satu bidang keutamaan untuk TNB berkembang maju dalam jangka panjang.
“Usaha seberang laut ini akan mempercepatkan pertumbuhan TBB dan membina keupayaan TNB di pasaran asing, membolehkan kami lebih memahami bagaimana Malaysia boleh mewujudkan rangka kerja yang betul.
“Ini memberi insentif kepada penggunaan teknologi utama seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), hidrogen serta Perangkap Karbon, Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS) yang akan menyokong Peralihan Tenaga,” jelasnya. – UTUSAN










