PETALING JAYA: Pendapatan e-dagang oleh pertubuhan di Malaysia berjumlah RM291.7 bilion pada suku pertama (S1) tahun ini, pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus tahun-ke-tahun dipacu oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, pada 2022, pendapatan e-datang berjumlah RM1.10 trilion, meningkat 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jelasnya, suku pertama 2022, pendapatan e-dagang adalah sebanyak RM264.3 bilion, seterusnya meningkat kepada RM273.8 bilion pada suku kedua.
“Pendapatan e-dagang terus menunjukkan trend peningkatan pada suku tahun ketiga dengan merekodkan RM274.6 bilion dan RM287.1 bilion pada suku tahun keempat.
“Prestasi memberangsangkan ini dapat dikaitkan dengan inisiatif kerajaan antaranya menyediakan gerbang e-dagang serantau, melabur dalam syarikat-syarikat e-dagang baharu, menggalakkan inovasi melalui kerjasama dalam pematuhan peraturan, serta meningkatkan aksesibiliti komunikasi dan rangkaian jalur lebar.
“Usaha-usaha ini telah menghasilkan manfaat ekonomi yang signifikan, termasuk peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dan prestasi keseluruhan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan berkenaan Penggunaan ICT dan E-Dagang oleh Pertubuhan 2022.
Menurut DOSM, pendapatan e-dagang meningkat 23.9 peratus pada 2021 berbanding 2019, mencatatkan RM1,037.2 bilion.
Katanya, analisis pendapatan e-dagang mengikut segmen pasaran mendapati, segmen pasaran tempatan yang dijana daripada jualan di Malaysia, mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak 25.5 peratus, berjumlah RM932.7 bilion pada 2021.
Sementara, jualan e-dagang di pasaran antarabangsa meningkat 11.9 peratus kepada RM104.5 bilion.
DOSM berkata, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan pula mendapati Business to Consumer (B2C) meningkat 26.2 peratus kepada RM308.9 bilion; manakala Business to Business (B2B) meningkat 25.9 peratus kepada RM713.1 bilion. Bagaimanapun, Business to Government (B2G) menurun -31.0 peratus kepada RM15.2 bilion.
Laporan itu menunjukkan, perbelanjaan e-dagang meningkat sebanyak 23.6 peratus kepada RM460.8 bilion dengan segmen pasaran tempatan melonjak sebanyak 25.8 peratus kepada RM426.8 bilion, manakala pasaran antarabangsa tumbuh 3.2 peratus kepada RM34.0 bilion.
Penggunaan komputer pula mencatat peningkatan sebanyak 7.6 mata peratus kepada 93.8 peratus, diikuti penggunaan internet (peningkatan sebanyak 5.4 mata peratus kepada 90.6 peratus), dan web presence (peningkatan sebanyak 9.4 mata peratus kepada 63.3 peratus).
“Walaupun wabak COVID-19 memberi kesan negatif kepada kesihatan dan ekonomi secara keseluruhan, di sisi yang lain, ia juga memberikan kesan positif yang ketara dalam meningkatkan aktiviti e-dagang di Malaysia.
“Sekatan dan langkah keselamatan yang dikenakan untuk mengawal penularan virus seperti kawalan pergerakan, penjarakan sosial dan operasi kedai fizikal yang terhad telah menyebabkan peningkatan dalam pembelian dalam talian dan transaksi digital. Secara keseluruhannya, wabak Covid-19 telah bertindak sebagai pemacu pertumbuhan e-dagang di Malaysia,” jelas DOSM. – UTUSAN










