Pertumbuhan penduduk bukan warganegara lebih tinggi 

Malaysia catat pertumbuhan penduduk bukan warganegara lebih tinggi 

MALAYSIA bakal menyaksikan pertumbuhan penduduk bukan warganegara yang lebih tinggi berbanding warganegara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah penduduk Malaysia pada 2023 dianggarkan 33.4 juta berbanding 32.7 juta pada 2022 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 2.1 peratus, didorong bilangan penduduk bukan warganegara yang lebih tinggi.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penduduk bukan warganegara meningkat daripada 2.5 juta tahun lalu kepada 3.0 juta pada 2023.

Penduduk warganegara meningkat daripada 30.2 juta pada 2022 kepada 30.4 juta 2023 dengan pertumbuhan yang kecil iaitu 0.7 peratus berbanding 0.6 peratus pada 2022.

Ujarnya, peningkatan kadar pertumbuhan penduduk ini turut berlaku di beberapa negara lain seperti Singapura (3.4 peratus), Australia (1.9 peratus), Jerman (1.3 peratus), Kanada (0.7 peratus) dan Amerika Syarikat (0.5 peratus).

“Tiga negeri iaitu Sabah (5.1 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (2.6 peratus) dan Selangor (2.2 peratus) telah melepasi kadar pertumbuhan nasional 2.1 peratus.

“Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada 2023 ialah Selangor (21.6 peratus) diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (10.8 peratus).

“Sebaliknya, Labuan dan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, komposisi penduduk warganegara menurun daripada 92.4 peratus tahun lalu kepada 91.1 peratus pada 2023, menyumbang kepada peningkatan komposisi penduduk bukan warganegara daripada 7.6 peratus kepada 8.9 peratus dalam tempoh sama.

“Peningkatan ini selaras dengan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April 2022 dan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 mulai Januari 2023.

“Selain itu, bilangan lelaki melebihi perempuan pada 2023 iaitu masing-masing 17.5 juta dan 15.9 juta. Nisbah jantina bagi keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Bagi tempoh 2022-2023, nisbah jantina warganegara kekal pada 103 manakala bukan warganegara menurun daripada 227 kepada 226 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.

Mohd. Uzir menjelaskan, secara keseluruhan, kesemua negeri di Malaysia mencatatkan lelaki melebihi perempuan kecuali bagi negeri Perlis (99) dan Putrajaya (98).

Katanya, negeri yang mencatatkan nisbah jantina tertinggi adalah Kuala Lumpur dengan 115 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti oleh Johor (114), Pahang (113) dan Selangor (113).

“Selain itu, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.6 peratus pada 2022 kepada 70.0 peratus pada 2023.

“Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.2 peratus kepada 7.4 peratus bagi tempoh sama manakala komposisi penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada 2023 menurun kepada 22.6 peratus berbanding 23.2 peratus pada 2022,” ujarnya.

Tambahnya, umur penengah penduduk Malaysia mencecah 30.7 tahun pada 2023 iaitu meningkat daripada 30.4 tahun pada tahun sebelum.

“Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk muda (0-14 tahun) pada 2023 tertinggi dengan 36.1 peratus, manakala Kuala Lumpur mencatatkan komposisi penduduk umur bekerja (15-64 tahun) tertinggi dengan 75.0 peratus.

“Perak kekal sebagai negeri paling tua (9.7 peratus), manakala Johor telah muncul sebagai negeri menua (7.0 peratus) pada 2023.

“Bumiputera menyumbang 70.1 peratus daripada 30.4 juta Warganegara pada 2023. Bagaimanapun, komposisi Cina menurun kepada 22.6 peratus daripada 22.8 peratus tahun lalu manakala India dan Lain-lain masing-masing kekal pada 6.6 peratus dan 0.7 peratus,” ujarnya.

Purata kepadatan penduduk Malaysia ialah 101 orang bagi setiap kilometer persegi.

Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk tertinggi dengan 8,235 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Putrajaya (2,017 orang) dan Pulau Pinang (1,718 orang).

Sarawak mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Pahang (45 orang) dan Sabah (48 orang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN