PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan lebih 10,000 pekerja tempatan berminat untuk bekerja dalam sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) di negara ini.
Menurutnya, data itu diperolehi menerusi dapatan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Kementerian Ekonomi ketika ini.
“Cuma kami dapati agak sukar meyakinkan majikan dan industri 3D untuk beralih daripada menggunakan pekerja asing kepada pekerja tempatan.
“Yang nak jadi itu (pekerja) ramai. Setakat ini orang kata pekerja tempatan tidak suka ceburi sektor kerja 3D, itu tidak betul.
“Tapi bila kita mahu yakinkan industri, alasan yang mereka bagi ialah mereka kata sudah ada pekerja asing,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia 2022 di sini, semalam.
Katanya, beliau memahami bahawa setiap program dalam IPR bergantung kepada penerimaan pemegang taruh (majikan).
Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau sedang berbincang untuk memperluas program IPR kepada sektor perkhidmatan termasuk pusat asuhan kanak-kanak.
“Kita mahu mendapatkan lebih ramai peserta dalam kalangan golongan B40 dan miskin tegar untuk menjadi operator pusat asuhan kanak-kanak.
“Setakat ini, kami menerima sambutan yang baik daripada industri dan peserta mengenai program itu.
“Cuma saya ingin jelaskan bahawa beban besar kini berada pada bahu Kementerian Ekonomi untuk menyediakan semua kemudahan bagi menggerakan setiap elemen dalam IPR itu,” katanya.
Katanya, buat masa ini, hanya 20 orang kakitangan yang menguruskan program IPR itu yang pada masa sama turut mengendalikan lebih 80,000 permohonan untuk menyertai program itu.
Rafizi berkata, setakat ini, model IPR itu adalah model terbaik bagi menambah pendapatan rakyat cuma giliran dan tapisan untuk menyertai program itu agak panjang. – UTUSAN










