Mahsuri peruntuk RM100,000 biasiswa

Mahsuri peruntuk RM100,000 biasiswa untuk program Chef Muda Mahsuri

MOHD. Roslan Mahayudin (tengah) bersama lima pelajar Sijil Kehadiran Masakan Melayu yang menerima biasiswa penuh tajaan Mahsuri Food Sdn. Bhd menerusi program Chef Muda Mahsuri di Petaling Jaya, hari ini. - UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Mahsuri Food Sdn. Bhd. (Mahsuri) memperuntukkan RM100,000 biasiswa di bawah program Chef Muda Mahsuri untuk mengasah kemahiran kulinari di Institut Makanan Malaysia (FIM).

Ketua Komersial Mahsuri, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, seramai 10 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpilih menerima biasiswa tersebut akan mengikuti  Kursus Sijil Kehadiran Masakan Melayu selama empat bulan di FIM dan tiga bulan latihan industri.

Katanya, pelajar akan menerima biasiswa penuh selama empat bulan meliputi yuran, wang saku dan penginapan di FIM semasa mengikuti kursus tersebut.

“Ini adalah kerjasama pertama kami dengan FIM dan bagi kumpulan pertama, sebanyak lima penerima biasiswa telah terpilih untuk mengikuti program ini.

“Penilaian untuk memilih penerima biasiswa ini mengambil masa lebih sebulan dan difahamkan telah menerima lebih 70 permohonan.

“Pelajar-pelajar ini akan belajar masakan Melayu dan insya-Allah akan menggunakan produk-produk Mahsuri dalam masakan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran program Chef Muda Mahsuri di FIM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri, Datuk Mohd Roslan Mahayudin; Penasihat FIM, Chef Mo Johari Edrus dan Eksekutif Sous Chef, Chef Wan Group Of Restaurants, Mohd. Nadzri Redzuawan.

Mohd. Jazri berkata, selepas pelajar-pelajar tersebut menamatkan kursus, mereka akan menjalankan latihan industri di rangkaian restoran milik Chef Wan Group Of Restaurants.

Tambahnya, lima lagi pelajar terpilih dijangka akan memulakan kursus mereka selepas kumpulan pertama menamatkan kursus.

“Buat masa ini, kami bercadang untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan. Setiap tahun kami cadang untuk memberi 10 biasiswa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN