PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyertai program Akreditasi Pengalaman Pelanggan Lapangan Terbang (ACEA) oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) sebagai sebahagian daripada komitmennya ke arah memastikan kecemerlangan perkhidmatan yang berterusan.
ACI, organisasi global pihak berkuasa lapangan terbang yang menyatukan amalan industri penerbangan, menyasarkan ACEA untuk membimbing lapangan terbang dengan lebih baik dalam pengurusan pengalaman pelanggan melalui lima peringkat akreditasi.
KLIA telah mencapai akreditasi pertamanya dan menyertai lapangan terbang lain di seluruh dunia seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang juga telah diakreditasi oleh program sama, dalam usaha berkongsi kecemerlangan pengalaman pelanggan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pihaknya mengambil langkah berani untuk mengubah cara kumpulan membawa penambahbaikan besar di lapangan terbang.
Ujarnya, menyertai program akreditasi oleh ACI ini akan menjadi komitmen jangka panjang untuk KLIA kerana Malaysia Airports berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam setiap aspek proses dan amalan operasi.
“KLIA akan bergerak ke hadapan dan menaik taraf dalam program ini untuk memastikan pengalaman penumpang yang lancar. Sejak beberapa bulan lalu, kami telah memperkenalkan dan mempercepatkan inisiatif baharu untuk memenuhi keperluan penumpang yang semakin berkembang.
“Kami bercita-cita untuk mengembalikan KLIA ke dalam ranking peringkat teratas lapangan terbang terbaik dunia dengan mencipta pengalaman terbaik untuk penumpang mengikut janji jenama kami,” katanya dalam kenyataan.
ACI ACEA adalah yang pertama dan pada masa ini satu-satunya pentauliahan pengalaman pelanggan dalam industri penerbangan yang membimbing ekosistem lapangan terbang untuk meningkatkan pengalaman lapangan terbang keseluruhan.
Ia memfokuskan pada lapan domain berbeza yang terdiri daripada pemahaman pelanggan, strategi, pengukuran, peningkatan operasi, tadbir urus, budaya lapangan terbang, reka bentuk perkhidmatan atau inovasi dan kerjasama komuniti lapangan terbang.
KLIA telah diakreditasi untuk mengiktiraf dan mewujudkan pengalaman pelanggan sebagai keutamaan yang dikomunikasikan secara dalaman dan luaran.
Ia dilaksanakan dengan menetapkan struktur asas melalui pemahaman yang menyeluruh tentang jangkaan, kepuasan dan maklum balas pelanggan. – UTUSAN










