PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Kumpulan Sunway merasmikan pembukaan Jambatan Sunway Serene sepanjang 250 meter, pencapaian terakhir dalam kerja-kerja menaik taraf awam bernilai RM30 juta di Petaling Jaya yang dijalankan oleh Sunway Property.
Ia dirasmikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir bersama Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah.
Turut hadir Ketua Jurutera MBPJ Tuan Ismail Shafie; Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman Hashim, dan Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah.
Sebagai sebahagian daripada komitmen Sunway Property terhadap pembangunan mampan, pemaju itu telah melakukan peningkatan meluas kepada rangkaian jalan raya sedia ada serta pemulihan Tasik Sunway Serene seluas 15 ekar seiring dengan perancangannya untuk pembangunan Sunway Serene seluas 17 ekar.
Mohamad Azhan berkata, sejak penubuhannya hampir 50 tahun yang lalu, Sunway telah menjadi konglomerat yang memberi sokongan padu kepada pembangunan lestari.
“Dari sebidang tanah terbiar, kini perbandaran ini mempunyai sebanyak 25,000 batang pokok serta 150 spesies flora dan fauna.
“Komitmen tanpa jemu daripada Kumpulan Sunway dalam membangunkan bandar pintar yang lestari adalah sejajar dengan matlamat MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar rendah karbon selaras dengan 17 matlamat pembangunan lestari (SDG) dan 10 tema di bawah pelan Petaling Jaya Pintar Mampan dan Berdaya Tahan 2030 (PJSSR 2030).
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Sunway atas komitmen mereka untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti yang jelas terbukti di Sunway Serene,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Jambatan Sunway Serene, di sini, hari ini.
Sementara itu, Jeffrey Cheah berkata, Kumpulan akan terus memperkenalkan bandar rendah karbon di bawah portfolionya, sejajar dengan komitmen negara untuk menjadi ekonomi neutral karbon menjelang 2050.
Ujarnya, MBPJ telah menjadi rakan kongsi sokongan Sunway sepanjang proses pembangunan itu.
“Petaling Jaya kini telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang luar biasa dan transformasi besar dengan anggaran penduduk 800,000. Bandar ini kini merupakan satu daripada pusat bandar yang paling pesat berkembang di negara ini, dan dijangka menjadi rumah kepada 1.8 juta penduduk menjelang 2050.
“Kadar pertumbuhan pesat ini, ditambah pula dengan kesan perubahan iklim, bermakna MBPJ terpaksa mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dengan komitmen untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk. PJSSR 2030 ialah pelan tindakan progresif dan berpandangan ke hadapan yang mendapat sokongan penuh kami di Sunway.
“Usaha kami didorong oleh keyakinan bahawa merealisasikan 17 SDG bukanlah tanggungjawab kerajaan sahaja. Membina masa depan yang mampan memerlukan komitmen semua elemen masyarakat termasuk sektor awam, sektor swasta, ahli akademik, masyarakat sivil, dan, sudah tentu, setiap seorang daripada kita. Ia merupakan tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Naik taraf jalan yang telah dilakukan oleh Sunway Property melibatkan longkang berbentuk `v’ terbuka sepanjang 500 meter (m) di sepanjang Jalan SS7/1 dan SS7/3 kepada pembentung konkrit 600 mm x 600 mm, membina laluan pejalan kaki baharu selebar 1,800 mm dengan kemasan konkrit untuk memastikan saliran lancar.
Jalan SS8/2 dinaik taraf daripada dua lorong kepada tiga lorong, memanjangkan bahagian persimpangan semasa antara Tanjakan Lebuhraya Persekutuan dan trafik dari Jalan SS7/2 daripada 20m kepada 100m, membina jambatan pendekatan sepanjang 250m dari persimpangan isyarat ke pembangunan Sunway Serene.
Sunway Serene, yang mempunyai nilai pembangun kasar (GDV) RM1 bilion telah siap pada Januari 2023 dan sedang diserahkan kepada pembelinya.
Sunway Serene direka bentuk mengikut Seni Bina Reka Bentuk dan Pembangunan Sunway (SDDA) yang menyelitkan unsur Kelestarian, Inovasi, Kesihatan dan Kesejahteraan serta Gaya Hidup & Pengalaman Baharu ke dalam perkembangannya, menggalakkan komuniti menjalani gaya hidup yang lebih sihat, mampan dan holistik.
Ciri-ciri inovatif Sunway Serene termasuk baldi air mini dan ‘sungai malas’ sepanjang 210 meter yang diilhamkan oleh Sunway Lagoon.
Selaras dengan pengayaan persekitaran binaan berpaksikan komuniti, Sunway Property juga telah melancarkan Program Komuniti Sunway Property yang menghimpunkan pemilik, pemilik sub-jualan dan penyewa bersama-sama di bawah jagaannya supaya Kumpulan dapat menyediakan sokongan gaya hidup yang mereka perlukan. – UTUSAN










