PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan unjuran ‘neutral’ bagi sektor automotif serta jangkaan jumlah volum industri (TIV) 2023 sebanyak 700,000 unit.
Firma penyelidikan itu turut menegaskan semula saranan neutralnya ke atas sektor berkenaan dengan pilihan utamanya termasuk DRB-Hicom Bhd. dengan panggilan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) pada RM2.18, diikuti MBM Resources Bhd. (Beli, TP: RM4.80).
Penganalisis HLIB Research, Daniel Wong dalam nota kajian berkata, meskipun TIV direkod lebih perlahan pada Jun lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) masih menunjukkan pertumbuhan TIV bagi tempoh tahun ini sehingga kini (ytd) sebanyak 10.3 peratus tahun ke tahun (yoy) kepada 366,000 unit.
Menurut beliau, ia ekoran kesan asas rendah daripada tempoh sama tahun lalu yang disebabkan oleh banjir yang melanda di Shah Alama dan kekurangan rantaian bekalan.
Ujar beliau lagi, MAA turut menyemak semula unjuran TIV 2023 kepada 725,000 unit berbanding 650,000 unit sebelum ini.
“Tetapi kami masih mengekalkan unjuran TIV 2023 sebanyak 700,000 unit iaitu 2.9 peratus (yoy) lebih rendah, didorong tunggakan pesanan industri yang tinggi melebihi 300,000 unit dan diimbangi pelancaran baharu.
“Kami juga turut menjangkakan TIV bakal menurun selepas memenuhi pesanan tertunggak yang besar sebanyak 300,000 unit,” katanya.
Daniel turut menasihati pelabur untuk mengumpul saham MBM dan DRB, ekoran pengilang peralatan asal (OEM) tempatan dijangka berjaya bagi tempoh jangka masa panjang dengan potensi pertumbuhan daripada pasaran eksport baharu.
“Kedua-dua OEM negara terus menerajui pasaran dengan 61.3 peratus bahagian pasaran pada separuh pertama 2023, berbanding 58 peratus pada 2022 dan 59.4 peratus pada 2021,” katanya. – UTUSAN










