PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan telah memperoleh kelulusan bersyarat untuk lesen pengilangan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mengeluarkan dan memasang kenderaan cekap tenaga empat roda (EEV), kenderaan penumpang elektrik (EV) dan kenderaan komersial elektrik.
Kelulusan itu yang terletak di bawah skop Akta Penyelarasan Perindustrian 1975, telah diberikan kepada Peps-JV (Melaka) Sdn. Bhd. (PJVM), anak syarikat milik penuh EPMB pada 10 Julai 2023.
Lesen tertakluk kepada syarat yang mesti dipenuhi oleh PJVM dalam tempoh enam bulan dari surat kelulusan.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, EPMB berkata, lesen pengilangan itu akan membolehkan PJVM memulakan kilang pembuatan untuk memasang EEV, EV dan produk berkaitan lain.
Peluasan ini akan membuka peluang perniagaan baharu untuk hasil dan pertumbuhan perniagaan sambil menyelaraskan perniagaan dengan inisiatif kemampanan, tambah Kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, Kumpulan komited untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MITI dalam jangka masa yang diberikan.
“Untuk mempercepatkan lagi penerokaan kami ke dalam pasaran yang menarik ini, Kumpulan merancang untuk menubuhkan sebuah kilang pembuatan tercanggih di Pegoh, Melaka.
“Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan perniagaan, tetapi juga menyokong aspirasi dan visi Malaysia untuk masa depan yang lebih hijau,” katanya. – UTUSAN










