PETALING JAYA: Dasar campur tangan pertukaran asing yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) disifatkan tidak sesuai dan memberi kesan kepada rizab pertukaran asing bank pusat itu, menurut pakar ekonomi.
Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, walaupun dari segi nilai rizab dilihat meningkat, namun ia telah susut berbanding sebelum ini.
“Jika kita lihat, dahulu rizab BNM mampu menampung sembilan bulan import, namun kini hanya 4.5 bulan sahaja.
“Apabila kadar pertukaran lemah, jadi ia menjadi lebih rendah. Justeru, BNM tidak sepatutnya menggunakan rizab untuk menyokong ringgit seperti membeli ringgit di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, BNM sepatutnya menyokong ringgit dari segi polisi fizikal dan kewangan lain yang lebih berkesan dan bukan bergantung kepada rizab pertukaran asing.
“Ini kerana, menggunakan rizab untuk campur tangan dengan membeli ringgit di pasaran adalah prinsip campur tangan yang tidak baik.
“Sebaiknya, BNM perkenalkan polisi seperti menyekat aliran keluar mata wang tempatan oleh buruh asing dan memastikan hasil jualan eksport dibawa masuk ke Malaysia. Ini boleh meningkatkan kembali rizab kita di paras yang lebih baik.
“Kita pastinya tidak mahu tragedi kita kerugian kira-kira RM30 bilion untuk menyokong ringgit pada 90-an dahulu berulang lagi,” ujarnya.
RHB Investment Bank (RHB IB) pula berkata, rizab pertukaran asing (FX) BNM boleh jatuh kepada sekitar AS$109 bilion (RM508.7 bilion) dalam tempoh tiga bulan akan datang daripada paras AS$112.7 bilion pada 31 Mei 2023 kerana bank pusat terus menggunakan dasar campur tangan FX untuk menstabilkan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.
Dalam nota Strategi Pasaran dan Ekonomi Global, Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Pasaran Kumpulan RHB IB, Dr. Sailesh K. Jha berkata, pada akhirnya, campur tangan FX tidak mungkin memberi kesan yang berterusan pada laluan dolar/ringgit.
Jha berkata, daripada pembacaannya mengenai BNM, pandangannya terhadap ekonomi global adalah selaras dengan pandangan konsensus mengenai persekitaran dunia yang mencabar pada separuh kedua 2023.
Beliau turut menjangkakan BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dengan panduan neutral pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 6 Julai ini.
“Kami juga mengekalkan unjuran OPR puncak kami pada 3.25 peratus pada 2023,” katanya.
Jha berkata, semakin lama BNM menangguhkan kenaikan OPR ke paras yang lebih tinggi, bawaan negatif terhadap dolar AS berkemungkinan akan terus meningkat apabila Kadar Dana Persekutuan Bank Rizab Persekutuan AS meningkat kepada paras tertinggi 5.50 hingga 5.75 peratus.
“Dengan baki risiko condong ke arah 5.75 hingga 6.0 peratus, pembaharuan fiskal domestik yang ketara tidak mungkin berlaku pada separuh kedua 2023,” ujarnya.
Dalam pada itu, Malaysia Rating Corp Bhd. (MARC) memberi amaran bahawa pergantungan jangka panjang pada kadar pertukaran mata wang yang lebih lemah boleh meletakkan sesebuah negara ke arah kemerosotan.
“Ini bukan sahaja bercanggah dengan konsep asas untuk menaikkan negara dalam rantaian nilai tetapi menjatuhkan negara kepada di bawah pembangunan,” katanya.
Menjawab hujah bahawa ringgit yang lebih lemah adalah penstabil automatik kerana ia secara teorinya meningkatkan nilai eksport, MARC berkata, ia hanya pelarasan sementara kepada harga untuk mengekalkan daya saing.
“Kedua-dua prestasi ringgit dan persepsi kedudukan ekonomi Malaysia adalah berkaitan dengan keyakinan antarabangsa.
“Selain isu baki luaran yang lebih lemah, kemampanan hutang dan kekuatan kewangan awam semakin lemah.
“Kemuncaknya pada 90-an, Malaysia mempunyai lebihan fiskal tetapi ia kini diramalkan mencatatkan defisit fiskal sekitar 5.0 peratus pada 2023.
“Defisit ini memberi kesan buruk kepada nisbah pembayaran kepada hasil pembayaran hutang Malaysia, yang telah meningkat sejak 2012 iaitu 9.4 peratus dan melepasi ambang yang dikenakan sendiri sebanyak 15 peratus semasa kemuncak wabak Covid-19 pada 2020 dan 2021,” ujarnya. – UTUSAN










