CelcomDigi lancar Siri MY5G pacu penerimagunaan 5G

CelcomDigi lancar Siri MY5G pacu penerimagunaan 5G merentasi pelbagai perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) melancarkan sesi pertama daripada tiga bahagian Meja Bulat CEO MY5G 2023, sebagai sebahagian daripada siri CelcomDigi MY5G, bertujuan membantu perniagaan merealisasikan potensi sebenar 5G di Malaysia.

Dengan kerjasama daripada rakan strategik CelcomDigi dan pemerkasa teknologi global iaitu Axiata, Telenor, Capgemini, Ericsson, Huawei, Kearney, Microsoft, dan ZTE, siri meja bulat itu melibatkan perkongsian cerapan mengenai bagaimana perniagaan global terkemuka memanfaatkan kuasa5G serta teknologi-teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) untuk mendigitalkan perniagaan demi pertumbuhan di samping mentransformasi industri dalam pasaran-pasaran utama.

Ia menjadi wadah bagi barisan pimpinan tertinggi daripada syarikat-syarikat awam, swasta dan badan korporat yang terkemuka dalam pelbagai industri di Malaysia, untuk saling berkongsi idea dan berinteraksi mengenai kerelevanan 5G bagi perniagaan dan industri di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, usaha memacu penggunaan 5G di Malaysia memerlukan kerjasama daripada syarikat korporat, sektor awam, pemerkasa teknologi dan pembekal khidmat keterhubungan.

Kata beliau, ketika negara memperluas akses kepada 5G, maka penting untuk semua pihak terlibat mempertingkatkan usaha masing-masing dalam membangunkan ekosistem 5G di negara ini.

“Justeru, kolaborasi dan libat urus antara perniagaan yang merentasi pelbagai industri adalah mustahak, dengan harapan untuk memperkasa penggunaan 5G di Malaysia di samping menyokong agenda digital negara kita.

“Tuntasnya, kita mempunyai matlamat bersama untuk membawakan nilai buat para pengguna dan untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia. Kami ingin bekerjasama secara rapat dengan entiti-entiti perniagaan bagi merungkai potensi sebenar 5G, lalu menjana lebih banyak nilai dan juga manfaat buat para pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah pula berkata, syarikat telah menjalin kerjasama dengan beberapa klien perusahaan untuk menjalankan beberapa ujian kegunaan 5G dan kami telah melihat potensi bagaimana penyelesaian berasaskan 5G dapat membantu mendigitalkan dan mentransformasi operasi perniagaan untuk meningkatkan produktiviti serta hasil bagi perniagaan berkenaan, termasuk para pelanggan dan juga kakitangan mereka.

Menurut beliau, syarikat berasa amat teruja atas pelbagai kemungkinan yang dapat dibawakan oleh 5G dalam memajukan industri-industri seperti pertanian, tenaga, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan kesihatan, pembuatan, pelabuhan, hartanah, utiliti dan infrastruktur antara lainnya.

“Kami berkomited untuk melanjutkan usaha melibat urus dan meneroka peluang baharu bersama perniagaan, kerana aplikasi 5G memerlukan kajian berterusan dan perlu disesuaikan dan dilaksanakan dengan teliti, tanpa membelakangkan keperluan rakyat Malaysia, dengan harapan untuk menggiatkan agenda transformasi digital negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN