Buka peluang kepada sektor swasta sertai INTAN

Buka peluang kepada sektor swasta sertai INTAN

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kementerian Ekonomi membuka peluang kepada sektor swasta dan individu untuk menyertai Program Usahawan Tani (INTAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menangani isu keselamatan dan keterjaminan makanan.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, sejak dilancarkan kira-kira lima bulan lalu, pihaknya menerima permintaan daripada pihak swasta yang ingin bekerjasama dengan kerajaan melalui program tersebut.

Katanya, ada antara mereka yang mempunyai tanah atau sudah pun menjalankan aktiviti pertanian dan mahu bekerjasama dengan kerajaan bagi meningkatkan lagi skala pertanian mereka.

“Oleh itu, kami akan menyemak kertas kerja yang diberikan dari sektor swasta dan meneliti kebolehan mereka dalam operasi, kewangan dan sebagainya.

“Kami juga akan melihat pada rekod mereka dan dari situ akan lebih mudah untuk bermula. Apabila mereka menjadi sebahagian daripada IPR, mereka dapat menaikkan skala dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis pelancaran IPR-INTAN@UPM di UPM di sini, semalam.

Menurut Rafizi, sejak IPR dilancarkan pada 27 Februari lalu, kementerian berjaya memperoleh sebanyak 404.6 hektar tanah milik sektor awan termasuk daripada agensi dan kerajaan negeri untuk bersama-sama dalam inisiatif tersebut.

Menurut beliau, pihaknya tidak menetapkan tempoh untuk mencapai keluasan tanah yang sama untuk peringkat seterusnya tetapi menjangkakan perkara itu dapat dicapai dalam tempoh yang sama.

“Kalau dalam tempoh lima bulan kami berjaya menyakinkan serta mendapat 1,000 ekar (404.6 hektar), kami berharap sekurang-kurangnya kami berada pada kelajuan yang sama dapat untuk seterusnya.

“Sudah tentu, selalunya pertumbuhan akan lebih pantas. Sekurang-kurangnya kami berharap akan terus menambah bank tanah sebanyak 1,000 ekar untuk setiap lima ke enam bulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN