Beli rumah: gabung nama meskipun tahu risiko

Beli rumah: Gabung dua nama meskipun tahu berisiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGGABUNGKAN dua nama bagi membeli rumah mampu memberi peluang cerah terutamanya kepada pasangan suami isteri dalam memperoleh kediaman sendiri lebih-lebih lagi dengan harga rumah yang semakin meningkat.

Malah ia merupakan amalan biasa sekiranya ejen atau institusi kewangan mendapati pendapatan bakal pembeli hartanah tidak mampu melepasi penilaian pihak bank.

Bagaimanapun tidak ramai tahu bahawa membeli kediaman menggunakan dua nama juga mempunyai risiko jika tidak diuruskan sebaiknya terutama bila pasangan sudah tidak sehaluan atau meninggal dunia.

Bagi Penolong Pengurus di sebuah syarikat farmaseutikal tempatan, Mohamad Noorshafik Shudin, 33, harga rumah yang tinggi mendorong dia dan isteri memilih untuk menggabungkan nama bagi membuat pinjaman perumahan.

MOHAMAD NOORSHAFIK SHUDIN

Kata Mohamad Noorshafik, dia dan isteri tidak pernah merancang untuk berkongsi nama membeli kediaman sebelum mendirikan rumah tangga, namun disebabkan akses kepada pembiayaan yang terhad mendorong mereka memilih kaedah tersebut.

Katanya, meskipun menyedari terdapat risiko membeli kediaman dengan berkongsi nama, namun dia tidak kisah memandangkan mereka telah membuat perjanjian bersama semasa proses pembelian berkenaan.

“Mungkin ada yang kata ia trend sekarang beli rumah gabung dua nama, tapi bagi saya ia lebih kepada untuk membeli rumah yang lebih selesa mengikut komitmen masing-masing.

“Biarpun ada yang mengatakan membeli kediaman menggunakan dua nama mempunyai risiko sekiranya pasangan bercerai atau meninggal dunia, ia boleh dielakkan sekiranya kita tahu menguruskannya,” katanya.

Sementara itu, individu yang hanya ingin dikenali sebagai Masitah berkata, pengalaman pahit berkongsi nama membeli rumah bersama bekas suaminya memberi pengajaran besar buat dirinya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu memberitahu, dia bersetuju menggabungkan nama untuk memiliki kediaman yang lebih selesa, namun selepas suaminya hilang pekerjaan dan mereka bercerai, dia terpaksa menanggung kos bayaran bulanan.

“Tidak lama selepas itu suami menuntut rumah yang saya dan anak-anak diami kerana ada namanya, jadi mahu atau tidak saya terpaksa jual rumah tersebut dalam membahagikan harta sepencarian kami.

“Jadi, nasihat saya, boleh membuat pinjaman menggabungkan nama tetapi fikirlah sedalam-dalamnya dahulu, mungkin ada yang bernasib baik dan ada tidak, seperti saya,” katanya.

Bagi Nurul Syahirah Sallehuddin, dia tidak mempunyai halangan sekiranya perlu menggabungkan namanya dan suami bagi memiliki kediaman sendiri demi keselesaan keluarganya.

Katanya, meskipun terdapat rumah kos rendah dan mampu milik harganya masih mahal dan jika dibeli menggunakan namanya seorang sudah pasti akan ditolak pihak bank.

“Jadi bagi saya kenapa tidak kita gabungkan dua nama untuk memiliki tempat tinggal sendiri yang selesa buat anak-anak dan duit sewa yang kami bayar bulan-bulan boleh digunakan bayar duit rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN