PETALING JAYA: Mahasiswa lepasan universiti digalak untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya koperasi dalam usaha membantu golongan berkenaan meningkatkan kemahiran, mencari pekerjaan seterusnya membantu negara dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sehubungan itu para belia terutama mahasiswa digesa untuk memanfaatkan program berkaitan untuk membangunkan sektor sosioekonomi, bakat dan peluang yang disediakan oleh agensi dan pihak berkuasa.
Katanya, Angkasa menerusi kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Insititut Koperasi Malaysia (IKMa) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan.
Platform yang telah disediakan adalah menerusi koperasi siswa yang diwujudkan disemua Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
Selain itu, inisiatif yang kini diperkenalkan ialah Program Usahawan Koperasi: Sijil Pengurusan Profesional Koperasi (Program Penjana Kementerian Pengajian Tinggi – Career Advancement Programme) menerusi Geran PENJANA KPT – CAP 2.0.
“Program ini direka khusus dengan kepakaran tenaga pengajar dan modul daripada Angkasa, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), SKM dan IKMa untuk melatih peserta secara profesional dalam pengurusan dan keusahawanan koperasi.
“Antara objektif utama program adalah untuk mewujudkan satu jaringan kerjasama strategik di antara kementerian, universiti, agensi kerajaan, industri (koperasi) dan pelajar alumni, dalam menghasilkan usahawan koperasi yang inovatif dan berdaya saing serta meningkatkan sosio ekonomi dan kompetensi pelajar, alumni, dan komuniti melalui penghasilan produk atau perkhidmatan yang berkualiti.
“Selain Program KPT-CAP, Angkasa juga menerima geran untuk melaksanakan dua lagi program iaitu Program Penjana KPT-PACE dan Program Pensijilan Profesional Usahawan Koperasi Millenia Inovatif. Program selama sebulan ini akan melibatkan pelajar-pelajar UMK yang sedang dalam pengajian.” Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Usahawan Koperasi: Sijil Pengurusan Profesional Koperasi (Program PENJANA KPT-CAP) di
Wisma Ungku A. Aziz, di sini.
Dr. Abdul Fattah berkata, program usahawan koperasi ini mampu menjadi platformyang terbaik untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai industri yang dipelopori oleh golongan belia pada masa ini selaras dengan jaminan pihak kerajaan untuk terus membantu golongan usahawan khususnya belia dalam menghadapi krisis ekonomi. – UTUSAN










