CROSS GR SPORTS – Khas untuk pencinta gaya dan prestasi

TOYOTA CROSS GR SPORTS – Khas untuk pencinta gaya dan prestasi

CROSS GR SPORTS memberi anda sedikit ‘intipan’ tentang dunia perlumbaan. – UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PENGHASILAN  ‘edisi istimewa’ oleh pengeluar kereta merupakan satu daripada cara untuk meneruskan kegemilangan jenama atau varian tersebut, serta ekspresi penghargaan terhadap penyokong dan peminat jenama/jentera mereka. Toyota menghasilkan beberapa model mereka dalam versi GR SPORTS. GR bermaksud GAZOO RACING, penjenamaan dalam acara dan konsep penambahbaikan prestasi dan spesifikasi pada kenderan mereka yang telah berada dalam pasaran.

Tidak lama dahulu kami pernah menyiarkan artikel varian GR SPORTS ini pada model VIOS. Kali ini, saya berpeluang memandu uji GR Sports untuk model SUV CROSS. Ayuh kita terus sahaja mengenengahkan apa yang saya perolehi hasil daripada pandu uji tersebut.

FIZIKAL / REKABENTUK

Jika ditanya pada orang awam, tidak ramai yang dapat membezakan antara TOYOTA CROSS versi biasa dengan versi GR SPORTS. Cuma, bagi peminatnya, logo atau ‘enblem’ huruf GR yang dilekatkan pada bahagian belakang dan tepi kenderaan memastikan ia sebenarnya adalah sebuah kenderaan berprestasi dan berprestij.

BAHAGIAN dalam kabin kenderaan seperti paparan skrin meter dan sisten infotainmen memastikan logo kenderaan dipamer secara dominan.

Selain itu, logo GR juga turut terserlah dalam kabin kereta seperti suis penghidup kenderaan, tempat menyandar kepala pada kusyen-kusyen yang disaluti kulit, serta paparan skrin meter dan sistem infotainmen kenderaan yang memastikan logo tersebut dipamer secara dominan.

GR Sports juga menggunakan rim Sports 18 inci yang berbeza daripada varian standard, serta untuk Cross versi ini, penggunaan skim warna dua tona iaitu penggunaan bumbung berwarna hitam dengan skim warna badan yang samada berwarna putih Mutiara, Merah Mica atau Biru metalik.

KEMUDAHAN untuk mengecaj telefon bimbit dan gajet turut disediakan.

PRESTASI

Untuk versi GR Sports, penambahbaikan yang paling ketara adalah sistem suspensi yang lebih tegar namun tidak terlalu keras sehingga mendatangkan ketidakselesaan kepada pemandu dan penumpang. Prestasi pemanduan dapat ditingkatkan apabila keupayaan untuk pengambilan selekoh lebih stabil pada tahap kelajuan yang tinggi sambil memberikan ciri-ciri sports kepada pemandunya.

Dari segi enjin pula, saya gagal mendapati sebarang peningkatan ketara pada prestasinya, malah dalam brosur juga menyatakan kuasa 172Nm kuasa tork dan 139 PS pada kuasa pengeluaran maksimumnya, sama seperti enjin standard. Tidak dapat saya nafikan, ujian pemanduan saya ketika menggunakan sistem gear pada tahap D (Drive) secara automatik, ia seperti sedikit ‘mengerang’ dan agak lambat untuk mendapatkan kuasa tujahan yang lebih kuat. Hanya sekiranya kita mengalih penghantaran kotak gear ke versi ‘manual’, tujahan kuasa enjin lebih efisien dan lebih menarik untuk pemanduan, terutamanya pendakian bukit atau ketika ingin memotong kenderaan.

Dari segi keselesaan, ruang tempat duduk samada di bahagian pemandu, penumpang hadapan dan belakang, amat luas dan selesa. Walau bagaimanapun, seperti kebanyakan jenama-jenama kenderaan yang lain, penggunaan kusyen bersalut kulit dan berwarna hitam bagi melambangkan kelas eksklusif atau eksekutif. Faktor ini telah banyak kali saya ketengahkan bahawa ia tidak lagi sesuai digunakan sebagai lambang prestij terutama dalam negara kita yang bercuaca panas terik ini. Jenama-jenama dari negara matahari terbit ini harus mencontohi Volvo yang menggunakan bahan fabrik malah untuk versi-versi berprestij mereka juga, tetapi sudah tentulah dengan rekaan yang menarik dan kreatif.

KESIMPULAN

Toyota Cross GR Sports memberi anda sedikit `intipan’ tentang dunia perlumbaan dan kelainan daripada model-model lain dalam pasaran Toyota. Menggabungkan elemen sukan permotoran dengan penambahan rekaan eksklusif menjanjikan peminatnya satu pengalaman yang lain dengan harga pasaran bermula daripada RM142,000.

Akan tetapi, seperti artikel-artikel pandu uji yang lalu, Toyota Cross GR  tidak terlepas daripada beberapa kelemahan ketara yang dialami ketika ia berada dalam jagaan saya:

  1. Penggunaan bahan api yang dikatakan menjimatkan, namun, saya merasakan ia sedikit kuat daripada pengalaman menguji Toyota Cross versi standard. Fakta ini agak ketara terutama ketika pengunaan gear automatik di tahap D sepanjang masa. Enjinnya agak mengerang untuk membolehkan pemandu mencapai tujahan kuasa yang berubah-ubah. Anda harus menukar fungsi gear pada tahap ‘Manual’ yang membolehkan anda memilih tahap kelajuan yang diinginkan, dipadankan dengan situasi pemanduan ketika itu, serta pengunaan bahan api yang lebih efisien.
  2. Fungsi tombol membuka kunci automatik pada pintu-pintu penumpang (depan dan belakang) agak sukar dicari terutama dalam pemanduan di waktu malam. Ini kerana, ia tidak dilengkapi dengan lampu ‘backlight’ seperti tombol-tombol suis untuk tingkap dan lain-lain.

Jika ingin dirumuskan secara keseluruhannya, ia sebuah SUV yang lebih menampilkan gaya hidup eksklusif dengan sedikit penambahan imej ‘sporty.’

Walau berbeza daripada versi GR Sports pada model YARIS, yang ternyata lebih ekstrim dan spesifik pada prestasi enjin dan pemanduan bercorak perlumbaan, Cross GR Sports seolah-olah memberikan anda sedikit ‘kerancakan’ dalam pemanduan harian anda. Tidak lebih daripada itu… – UTUSAN

Spesifikasi

ENJIN

JENIS PACUAN FWD (RODA HADAPAN)
JENIS ENJIN 4 SILINDER SELARI, 16 VALVE DOHC DENGAN VVT-I BERKEMBAR
SESARAN 1,798 CC (1.8)
KUASA MAKSIMUM 103 kW (139 PS) @ 6400 rpm
TORK MAKSIMUM 172 Nm @ 4,000 rpm
KELAJUAN MAKSIMUM 185 KM/J

TRANSMISI

JENIS CVT 7 KELAJUAN ‘SEQUENTIAL SHIFTMATIC’

SUSPENSI

HADAPAN STRUT MACPHERSON (yang dilaras semula lengkap dengan pengimbang)
BELAKANG TORSION BEAM (yang dilaras semula lengkap dengan pengimbang)
BREK CAKERA BERLUBANG ARUS UDARA PENYEJUK (hadapan sahaja)
TAYAR/RODA 225/50-18 JENIS ALLOY (REKAAN GR SPORTS)
STERENG STERENG ELEKTRIK (SPORTS ECU)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN