Tindakan BNM isyarat jelas kepada pelabur

Tindakan BNM isyarat jelas kepada pelabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan, adalah isyarat jelas bahawa kerajaan serius dalam menangani penurunan ringgit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, tindakan bank pusat itu akan meningkatkan sentimen dan keyakinan pelabur-pelabur dan pengguna ringgit bagi menstabilkan kadar pertukaran.

“Ia jelas memberi isyarat kepada penganalisis dan pelabur serta peniaga bahawa kerajaan serius melihat situasi ini dan kita dapat lihat bila BNM umumkan sahaja, nilai ringgit terus naik berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, saya berpandangan BNM tidak akan campur tangan secara melulu memandang­kan ia akan melihat terlebih dahulu sama ada kadar pertukaran kita terus jatuh atau naik selepas pengumuman tersebut.

“Misalnya, jika BNM lihat ringgit terus jatuh mencecah RM5 berbanding dolar AS, saya berpendapat bank pusat itu akan terus campur tangan dalam pasaran pertukaran asing, jika ia naik maka BNM tidak akan campur tangan,” katanya.

BNM sebelum ini menjelaskan, ia akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan selepas ringgit hampir mencecah RM4.70 berbanding dolar AS.

Mata wang tempatan itu kembali melonjak pada Selasa, ditutup kepada 4.6680/6620 berbanding dolar AS daripada 4.680/6730 pada Isnin ekoran pengumuman BNM.

Bagaimanapun ringgit kembali didagangkan lebih rendah berbanding dolar AS pada Rabu kepada 4.6750/6690 ekoran data ekonomi AS yang kukuh dan membolehkan dolar kembali meningkat.

Tambah beliau, campur tangan pasaran pertukaran asing bukanlah satu-satunya indikator yang boleh diambil BNM dalam menstabilkan kadar pertukaran malah terdapat beberapa inisiatif lain yang boleh dilaksanakan bank pusat tersebut.

“Tidak semestinya BNM perlu terlibat dengan kadar pertukaran asing, dia boleh melakukan beberapa inisiatif antaranya menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), menghadkan pengeluaran ringgit ke luar negara dan mengubah pertukaran supaya tidak menggunakan USD,” katanya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, pertumbuhan ekonomi keseluruhannya ditentukan oleh kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan KDNK Malaysia dijangka akan terus mencapai 4.5 hingga 5.0 peratus meskipun kadar pertukaran tempatan jatuh.

“Cuma biasanya kalau kadar pertukaran itu jatuh disebabkan oleh Bursa Malaysia jatuh, jadi dia nampak berkait, tapi sebenarnya bursa saham dan kadar pertukaran tidak ada kaitannya langsung dengan kadar pertumbuhan KDNK.

“Kita tidak perlu bimbang mengenai itu, cuma yang perlu kita risaukan adalah kalau sentimen dan keyakinan terus merosot sehingga semua pihak mengetatkan keputusan untuk tidak mahu melabur, berbelanja dan mengimport,” katanya.

Ujar beliau, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia sejak tiga tahun lalu dipacu oleh perbelanjaan persendirian di mana lebih banyak perbelanjaan isi rumah maka lebih tinggi kadar pertumbuhan KDNK negara.

“Apa yang kita tidak mahu adalah, isi rumah menyimpan duit kerana mereka takut berbelanja dan jika itu berlaku ia akan menyebabkan ekonomi terencat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN