SMC rai kanak-kanak sempena pembukaan menara baharu - Utusan Malaysia

SMC rai kanak-kanak sempena pembukaan menara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Perubatan Sunway (SMC) meraikan kanak-kanak dan penjaga mereka bersempena pembukaan dua bangunan baharunya, Menara D dan E bagi menzahirkan penghargaan kepada pesakit dan penjaga mereka atas kepercayaan serta keyakinan yang diberikan kepada fasiliti kesihatan itu.

SMC dalam satu kenyataan berkata, maskot kebanggan hospital, ELFY turut membuat kemunculan khas di menara baharu tersebut sekaligus membawa keceriaan dan kegembiraan kepada para pesakit cilik di klinik kanak-kanak di aras enam, tujuh dan sembilan serta Wad Pediatrik di aras lapan.

“Di samping itu, kaum ibu juga dihadiahkan sekuntum bunga daisy dalam pelbagai warna menarik sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan setiap tahun pada Mei,” katanya.

Pengurus Besar Perkhidmatan Wanita dan Kanak-Kanak SMC, Dr. Ng Lee Li berkata, pihaknya begitu gembira dengan pelaksanaan pemberian hadiah kerana menjadikan hari pesakit mereka lebih ceria.

“Kami berusaha memberi yang terbaik untuk berada di tahap ini dan trutu berasa gembira kerana kini SMC mempunyai pusat sehenti bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bayi, kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Pembukaan dua menara baharu SMC itu turut dilengkapi dengan jabatan kecemasan kanak-kanak pertama di hospital swasta dalam negara yang menyediakan rawatan pediatrik khusus serta diasingkan daripada orang dewasa.

Ia turut dilengkapi pusat perkembangan kanak-kanak, wad pediatrik, dewan bedah pediatrik, unit rawatan rapi (ICU) pediatrik dan unit dependensi tinggi (HDU) pediatrik.

Selain itu, terdapat juga jabatan radiologi baharu yang dilengkapi dengan imbasan tomografi berkomputer (CT) terkini, pengimejan resonans agnetik (MRI) 3 Tesla, ultrabunyi dan fasiliti am imbasan sinar-X.

Sebagai sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC sentiasa mencari kaedah inovatif untuk meningkatkan pengalaman pesakit di samping mengutamakan keselesaan dan kesejahteraan mereka.

“Jabatan kecemasan kanak-kanak dan klinik kanak-kanak merupakan sebahagian daripada usaha hospital untuk menyediakan rawatan khusus kepada pesakit cilik yang memerlukan penjagaan lebih rapi.

“Dengan 22 bidang sub kepakaran pediatrik yang terbanyak dalam kalangan hospital swasta di Malaysia SMC komited untuk mengambil pendekatan holistik terhadap kesihatan dan perkembangan kanak-kanak yang berasaskan bukti dan berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr. Seow Vei Ken berkata, pasukan penjagaan kesihatan profesional hospital berkenaan terlatih di dalam bidang pediatrik.

Katanya mereka juga berkemahiran tinggi dalam pelbagai subkepakaran dan bersedia untuk memberikan penjagaan serta rawatan terbaik kepada pesakit kanak-kanaknya di menara baharu tersebut.

“Dengan perkembangan ini, kami sedang meningkatkan kapasiti secara berperingkat yang mana kami kini mempunyai 724 katil berlesen dan akan meningkat kepada lebih daripada 1,000 buah katil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya