PETALING JAYA: SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) menyasarkan untuk mengumpul RM166.4 juta daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dijadualkan disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Julai ini.
Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan kira-kira satu bilion saham dan harga IPO 80 sen sesaham, permodalan pasaran syarikat mencapai kira-kira RM800 juta.
Pemaju bandar itu juga berhasrat untuk mengisytiharkan dividen tahunan, bersamaan dengan 20 peratus keuntungan bersih kepada para pemegang sahamnya secara disatukan.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas SkyWorld, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, SkyWorld telah memperuntukkan RM100 juta atau 60.1 peratus daripada hasil yang diperoleh untuk pembelian tanah bagi tujuan pembangunan.
“Sebanyak 21.2 peratus dan 12 peratus masing-masing telah dianggarkan untuk modal kerja pembangunan projek dan pembayaran balik pinjaman bank manakala baki 6.7 peratus daripada hasil telah diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan IPO.
“Kami percaya tawaran IPO berpotensi untuk meningkatkan operasi perniagaan kami, mencipta nilai untuk pemegang saham dan memberi manfaat kepada prospek jangka panjang kami.
“Dengan ini, kita selangkah lebih dekat ke arah penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menjangkakan pasaran hartanah berkembang dalam trajektori menaik selepas cabaran sejak dua tahun lepas.
“SkyWorld mengiktiraf potensi yang belum diterokai dan bersedia untuk merebut sebarang peluang berharga,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan dan Perbankan Islam Kumpulan Kenanga Investment Bank, Datuk Roslan Tik berkata, penawaran IPO datang pada waktu yang tepat untuk SkyWorld.
“Ia selari dengan peluang pertumbuhan untuk projek perumahan di ibu negara, kerana pembandaran berterusan untuk mempercepatkan langkah bertepatan dengan pembangunan ekonomi keseluruhan Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










