Semak semula OPR kepada 2.75 peratus - Utusan Malaysia

Semak semula OPR kepada 2.75 peratus

Bank Negara Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyemak kembali kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kerana ia dilihat tidak memberi kesan kepada aliran tunai dalam pasaran untuk membendung perbelanjaan dan mengawal inflasi.

Malah kewujudan pinjaman alternatif yang begitu mudah dimohon dan diluluskan melalui aplikasi di dalam talian dengan kadar faedah sehingga 36 peratus setahun turut memberi kesan kepada aliran tunai.

Sebaliknya, kerajaan perlu memperkenalkan dasar ekonomi yang bukan sahaja mesra rakyat dan perniagaan, tetapi berupaya memacu ekonomi negara dengan dasar yang mampu membuka banyak peluang baharu kepada usahawan tempatan.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, hasrat kerajaan untuk membendung permintaan melalui kenaikan OPR bagi menyeimbangi harga barangan tidak akan berjaya malah harga barangan terutamanya keperluan asas akan terus meningkat.

“Meskipun kadar faedah pinjaman ‘ceti alaf baharu ini’ lebih tinggi dari bank, rakyat terpaksa meminjam kerana mereka terbeban dengan kenaikan harga barang.

“Oleh itu, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menyemak kembali OPR kepada 2.75 peratus untuk mengurangkan beban isi rumah dan perniagaan kecil.

“Kerajaan juga boleh memperkenalkan bajet tambahan untuk program yang dapat mengatasi kemurungan ekonomi yang dijangka akan berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kerajaan terlalu yakin dengan pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus bagi suku pertama 2023 dan kenaikan OPR kepada 3.0 peratus adalah konsisten dengan data yang menunjukkan prestasi ekonomi kukuh.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan gagal mengambil kira laporan Jabatan Statistik yang melaporkan kemerosotan eksport sehingga 17.4 peratus pada April, tahun ke tahun.

“Kemerosotan eksport ini adalah penunjuk dan indikator kepada ekonomi Malaysia yang akan terus merudum selaras dengan hasil pendapatan komoditi yang menurun dan prospek pertumbuhan global yang dijangka lemah sepanjang tahun 2023.

“Masalah kenaikan kos sara hidup, mata wang ringgit yang semakin lemah dan pembangunan ekonomi masih kritikal dan menjejas kelestarian hidup rakyat dan perusahaan kecil.

“Dengan kenaikan OPR, pasaran saham semakin lembap, ringgit semakin merosot dan kos sara hidup masih meningkat khususnya sektor makanan,” katanya.

Armin Baniaz berkata, kerajaan juga perlu menyemak semula indikator atau aras penunjuk kemiskinan di mana kadar kemiskinan dalam negara semakin meningkat dan ramai yang tercicir dari data yang direkod melalui aras penunjuk sedia ada.

“Dengan erti kata lain, aras penunjuk sedia ada gagal merekodkan mereka yang tergolong dalam kemiskinan dan golongan ini mungkin tidak mendapat apa-apa bantuan.

“Ini bermakna, lebih ramai rakyat yang sebenarnya terkesan dan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan OPR,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya