PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melarang rakan kongsi audit Chia Kwong Chow (Chia) dan Tai Yoong Noor (Tai) dari K. C. Chia & Noor daripada menerima dan mengaudit mana-mana entiti berkepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang berjadual selama 12 bulan berkuat kuasa 10 Mei lalu.
Selain larangan itu, AOB turut mengenakan denda sebanyak RM50,000 ke atas Chia dan RM20,000 ke atas Tai.
Menurut SC, sebagai rakan kongsi tugasan, Chia telah gagal menilai kesesuaian PIE dengan memodalkan sejumlah besar yuran perundingan sebagai perbelanjaan tertunda selaras dengan keperluan Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS) 138.
“Chia juga gagal mendapatkan bukti audit yang sesuai dan mencukupi untuk mengesahkan sejumlah besar transaksi dengan rekod perbelanjaan tertunda yang tidak lengkap.
“Selain itu, tiada prosedur audit alternatif dilakukan untuk mengesahkan rekod yang tidak lengkap ini. Perbelanjaan tertunda kemudiannya diklasifikasikan semula sebagai Aset Bukan Semasa Dipegang untuk Jualan,” katanya.
Jelas SC, Chia sekali lagi gagal menilai kesesuaian PIE mengklasifikasikan perbelanjaan tertunda sebagai Aset Bukan Semasa Dipegang untuk Jualan mengikut keperluan MFRS 5.
Tambahnya, Tai, Penyemak Kawalan Kualiti Tugasan (EQCR), juga telah gagal untuk menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit terpilih yang berkaitan dengan pertimbangan penting dan bidang risiko penting dalam tugasan audit dan asas kesimpulan yang dicapai.
“Kekurangan audit, yang telah ditemui oleh AOB, telah menjejaskan kualiti audit keseluruhan. Sekatan itu dikenakan selepas proses sewajarnya, termasuk proses rayuan, diberikan kepada mereka,” jelasnya. – UTUSAN










